DARI kiri Sumitra, Ning Baizura, Angeline dan Ellen Wong berikrar untuk sokong kempen antikeganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.
DARI kiri Sumitra, Ning Baizura, Angeline dan Ellen Wong berikrar untuk sokong kempen antikeganasan terhadap wanita dan kanak-kanak.

Rumahku syurgaku. Ya, bagi kebanyakan orang, rumah adalah tempat berlindung yang paling selesa, tidak kira saiz atau lokasinya. Namun bukan semua orang bertuah memiliki ‘syurga sementara’ ini kerana pada sesetengah orang, rumah menjadi penjara seksa.

Sedih dengan keganasan yang dialami wanita, tetapi berita kanak-kanak didera dan dianiaya lebih meruntun hati, apatah lagi jika dilakukan ahli keluarga sendiri.

Menyedari hakikat ini, Antabax, rangkaian produk penjagaan diri antibakteria menjalin kerjasama dengan peruncit terkemuka Giant dan peruncit farmasi, kesihatan dan kecantikan, Guardian melancarkan aktiviti mengutip dana menerusi kempen ‘Kesihatan Dikongsi, Harapan Diberi’ bagi menyokong Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).

Dalam kempen yang berlangsung dari 1 Jun lalu hingga 31 Julai ini, lima peratus hasil jualan keseluruhan produk Antabax di semua cawangan Giant dan Guardian di seluruh negara akan disalurkan kepada WAO bagi menyokong Pusat Perlindungan dan Penjagaan Kanak-kanak pertubuhan itu.

Diasaskan pada 1982, WAO bermatlamat memupuk masyarakat yang bebas daripada keganasan terhadap wanita. WAO menyediakan sokongan emosi, sosial dan material untuk mangsa keganasan rumah tangga, membantu wanita yang didera menguruskan diri dengan menyediakan tempat perlindungan sementara dan memupuk kesedaran mengenai isu keganasan terhadap wanita.

Golongan yang kerap dilupakan adalah kanak-kanak yang mengalami trauma, diancam dan tiada upaya menghadapi keganasan dalam keluarga mereka.

Bagi kanak-kanak ini, rumah bukan tempat berlindung. Pendedahan mereka kepada keganasan rumah tangga memberi kesan besar dan mendalam terhadap kehidupan dan masa depan mereka. Kajian menunjukkan kanak-kanak yang menyaksikan keganasan rumah tangga lebih terkesan dengan keganasan apabila dewasa, sama ada sebagai mangsa atau pelaku.

Menurut Pengurus Produk Berkumpulan, Isi Rumah dan Penjagaan Diri, Bahagian Pemasaran Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd, Angeline Sim, jenama itu aktif bekerja dengan organisasi berlainan bagi membawa perubahan positif dan hasil yang lebih baik kepada golongan memerlukan. Sebagai jenama yang memberi fokus kepada keluarga, Antabax terpanggil untuk membantu kanak-kanak, wanita dan lelaki dari segi kesihatan fizikal, emosi dan sosial mereka ke arah pembentukan negara yang lebih sihat dan kuat.

“Jualan amal ini adalah acara tahunan bagi Antabax. Menjelang Ramadan dan Aidilfitri, kami ingin mengajak pengguna memperingati mereka yang memerlukan bantuan untuk memulakan hidup baru dan memperoleh manfaat yang biasa bagi kita.

“Bagi wanita dan kanak-kanak yang meminta bantuan WAO untuk membebaskan diri daripada belenggu keganasan, kami akan terus membantu menerusi sokongan daripada pelanggan. Harapnya dengan sokongan semua pihak, kita dapat menyediakan persekitaran ceria dan selamat kepada keluarga yang berusaha keluar daripada belenggu keganasan dan memulakan hidup baru,” katanya.

Pengurus Kanan Kategori, Barangan Kesihatan dan Kecantikan bagi GCH Retail (M) Sdn Bhd Ellen Wong berkata, Giant berbesar hati dipilih sebagai rakan kerjasama lima tahun berturut-turut dalam kempen berkenaan dan akan menggunakan kekuatan di semua 129 cawangannya bagi membantu mengutip dana untuk WAO.

Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan memberitahu Pusat Perlindungan dan Penjagaan Kanak-kanak WAO menyediakan perkhidmatan untuk wanita dan kanak-kanak yang memerlukan perlindungan apabila mereka cuba membebaskan diri daripada belenggu keganasan. Pusat Perlindungan dan Penjagaan Kanak-kanak berfungsi sebagai pusat bagi ratusan wanita dan kanak-kanak setiap tahun memulakan hidup baru.

Buat masa ini, pusat berkenaan menjadi ‘rumah’ kepada 100 wanita dan 120 kanak-kanak setiap tahun. Pusat dengan keluasan 12,000 kaki persegi itu dilengkapi lima bilik tidur, enam bilik mandi, dapur, pejabat pentadbiran dan bilik stor memerlukan sekurang-kurangnya RM1.2 juta setahun untuk menjalankan pelbagai program.

Penyanyi terkenal, Ning Baizura turut hadir pada majlis pelancaran kempen berkenaan menyeru masyarakat supaya tampil memberi sokongan kerana wanita dan kanak-kanak yang dibantu adalah anak, adik, kakak, ibu atau rakan seseorang. Sokongan masyarakat membolehkan mereka memulakan kehidupan baru yang lebih bermakna.

Untuk menyokong WAO, kunjungi mana-mana kedai Giant atau Guardian dan beli sebarang produk Antabax. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Antabax Kesihatan Dikongsi, Harapan Diberi, layari www.facebook/NewAntabax.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 11:29 AM