SUMITRA (kiri) menerima sumbangan disampaikan Norine dan Allan.
SUMITRA (kiri) menerima sumbangan disampaikan Norine dan Allan.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

Kerjasama antara Antabax, rangkaian produk penjagaan diri antibakteria yang inovatif bersama peruncit terkemuka di Malaysia, Giant, berjaya mengumpul dana RM25,271.60 untuk disumbangkan kepada Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) menerusi kempen ‘Kesihatan Dikongsi, Harapan Diberi’.

Kempen yang berlangsung selama dua bulan dari 1 Jun hingga 31 Julai tahun lalu, menyaksikan lima peratus jualan rangkaian produk Antabax di Giant dan Guardian seluruh negara disalurkan kepada WAO bagi menyokong Pusat Perlindungan dan Penjagaan Kanak-kanak WAO.

WAO memberi sokongan kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan mental, fizikal dan seksual. Ia juga menyediakan perkhidmatan perlindungan sementara dan membantu mereka menentukan masa depan sendiri kerana semua orang mempunyai hak dan tidak boleh dianiaya.

Sejak kempen CSR pertamanya pada 2009, Antabax sudah menyumbang lebih RM1 juta dalam bentuk wang tunai dan produk kepada pelbagai organisasi bukan kerajaan demi membantu mereka yang memerlukan.

Menurut Pengarah Eksekutif Jualan dan Pemasaran Lam Soon Edible Oil Sdn Bhd Allan Khong, jenama itu komited menyokong organisasi yang menyediakan perkhidmatan kepada mereka yang memerlukan menerusi sumbangan kepada projek tertentu.

“Usaha WAO dalam menangani masalah keganasan rumah tangga menerusi perkhidmatan sokongan kepada mangsa dan bekas mangsa sememangnya dekat dengan pengguna kami.

“Antabax mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna di atas sokongan mereka kepada kanak-kanak dan wanita di WAO,” katanya ketika majlis penyampaian cek di ibu pejabat Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd.

Sementara itu, Pengurus Besar Pemasaran GCH Retail (M) Sdn Bhd Norine Erica Majaman berkata, usaha WAO untuk menangani masalah keganasan rumah tangga adalah penting dan perlu disokong.

“Keperluan WAO sangat luas. Kerja yang mereka lakukan untuk memberikan permulaan baru kepada bekas mangsa keganasan rumah tangga mampu mengubah kehidupan seseorang,” katanya.

Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan berkata, pusat itu penting kerana ia menawarkan bantuan sementara kepada wanita serta kanak-kanak mangsa penderaan ketika mereka membuat keputusan untuk keluar daripada kitaran keganasan itu.

Katanya, pada tahun lalu, pusat berkenaan memberi perlindungan kepada 329 wanita serta kanak-kanak bagi membolehkan mereka membina semula kehidupan.

“Pusat perlindungan ini mempunyai ruang seluas kira-kira 12,000 kaki persegi. Ia merangkumi lima bilik tidur, enam bilik air, sebuah dapur, pejabat pengurusan dan bilik stor.

“Sekurang-kurangnya RM1.2 juta diperlukan setiap tahun untuk melaksanakan program kami dan kebanyakan dana datang daripada sumbangan individu serta pihak korporat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:20 AM