Sebanyak RM23,749.78 berjaya dikumpulkan kempen amal 1Heart Bersama Antabax dan Giant untuk disumbangkan kepada Yayasan IJN.

Kempen yang dilaksanakan dengan kerjasama jenama penjagaan badan Anatabax dan pasaraya Giant akan dimanfaatkan secara khusus oleh Program Bantuan Pesakit oleh Yayasan IJN.

Pengurus Besar Bahagian Keluarga dan Penjagaan Diri Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd (Lam Soon) Francis Ng berkata program kerjasama yang masuk tahun keempat ini berhasrat untuk meringankan beban pesakit yang tidak mampu menanggung kos pembedahan.

"Yayasan IJN adalah satu badan amal yang tidak membabitkan keuntungan dan ia bergantung sepenuhnya kepada sumbangan untuk membantu pesakit yang kurang bernasib baik dan kami gembira dapat menghulurkan bantuan semampu yang boleh," kata Ng.

Menurut Ng, pasaraya Giant juga memberikan sokongan dan bantuan yang penuh malah kerjasama ini berjaya mengagihkan hampir RM100,000 kepada empat rumah kebajikan yang dipilih setiap tahun.

Pengurus Besar Pemasaran GCH Retail (M) Sdn Bhd Norine Erica Majaman berkata rawatan penyakit nombor satu negara ini menelan kos yang banyak untuk ramai individu dan ia seakan membebankan lagi pesakit dan keluarga mereka.

"Kami di Giant percaya setiap sumbangan daripada setiap orang walaupun sedikit, boleh membawa perubahan dan membantu menyelamatkan nyawa.

"Dalam jangka masa dua bulan, setiap pembelian produk Antabax di Giant akan menyumbang kepada usaha ini dan ia sememangnya mendapat perhatian para pembeli yang nyata prihatin dan memberi sokongan," kata Manjaman.

Cek diserahkan kepada kepada Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan Yayasan IJN Yang Mulia Raja Datin Zuraida Raja Mansur dalam satu majlis yang diadakan baru-baru ini dan tetamu dibawa melawat wad pediatrik IJN untuk bertemu pesakit kanak-kanak dalam wad.

Setiap kanak-kanak juga diberi produk Antabax secara percuma untuk menggalakkan mereka menjaga kesihatan diri.

Sejak 2002 sehingga 2013, Program Bantuan Pesakit oleh Yayasan IJN telah membantu seramai 797 pesakit dengan wang bantuan kira-kira RM19 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Oktober 2014 @ 5:00 AM