PEMENANG pertandingan Doodle ‘Cergas Bersama Antabax’ bersama hadiah masing-masing.
PEMENANG pertandingan Doodle ‘Cergas Bersama Antabax’ bersama hadiah masing-masing.
Nor Faizah Mohamed


Pernahkah anda terfikir mengapa hampir semua penganjur mengadakan pertandingan melukis dan mewarna untuk kanak-kanak dalam acara mereka? Benar, ia antara cara mudah untuk mengawal pergerakan kanak-kanak yang sememangnya aktif berlari ke sana sini.

Namun ia juga menjadi kaedah merangsang minda kreatif dan daya tumpuan kanak-kanak dalam suasana yang menyeronokkan, sesuai dengan minat si kecil.

Memahami konsep inilah, jenama penjagaan diri, Antabax mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan Doodle ‘Cergas Bersama Antabax’ dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Doodle yang bermakna coretan adalah lakaran spontan yang boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk sama ada corak abstrak atau reka lukis sehinggalah imej objek, landskap, manusia mahupun wajah.

Menurut kajian sains saraf, psikologi dan reka bentuk menunjukkan perbuatan mencoret dapat membantu seseorang itu mengekalkan tumpuan, mudah memahami konsep baharu dan menyimpan maklumat di dalam otak.

Rangsangan inilah yang mahu diberikan kepada golongan muda khususnya pelajar sekolah dalam melahirkan generasi lebih kreatif serta berdaya saing sejajar kemajuan dunia hari ini.

Antabax sekali lagi menjadi peneraju dalam mempopularkan bentuk karya artistik ini, memandangkan pertandingan Doodle ini mendapat sokongan yang menggalakkan pada 2014, iaitu kali pertama ia dianjurkan.

Pertandingan Doodle ‘Cergas Bersama Antabax’ ini dijalankan melalui laman Facebook rasmi Antabax pada 30 Jun hingga 30 September 2016. Ia mendapat sambutan menggalakkan kerana berjaya menarik lebih 1,200 penyertaan dari seluruh pelosok negara. Penyertaan terdiri dari kategori sekolah rendah dan menengah, institusi pengajian tinggi dan kategori terbuka yang baru ditambah pada pusingan ini.

Bagi menghargai hasil kerja kreatif itu, satu pameran diadakan di Balai Seni Visual Negara yang membariskan 80 karya doodle terpilih dan ia dihadiri finalis, ahli keluarga, rakan dan guru yang datang dari seluruh negara untuk menunjukkan sokongan mereka.

Antara hadiah yang ditawarkan adalah wang tunai berjumlah RM28,000 dan barangan eksklusif Antabax. Tempat pertama, kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM3,000, RM1,500 dan RM800, manakala 17 pemenang hadiah sagu hati setiap kategori pula menerima RM100 atas usaha mereka.

Menurut Pengurus Kumpulan Produk Penjagaan Diri dan Isi Rumah, Lam Soon Edible Oils Sdn Bhd Angeline Sim, pertandingan doodle ini adalah satu usaha untuk menggabungkan amalan kebersihan yang baik dengan kemahiran kognitif dan kreatif.

“Ini adalah platform untuk mewujudkan pembabitan pengguna dan menggalakkan golongan muda mengamalkan kebersihan diri melalui cara yang menyeronokkan di samping mengekalkan maklumat mengenai kesihatan.

“Mengekalkan kebersihan diri yang baik amat penting untuk pelbagai sebab iaitu kesihatan, sosial, psikologi dan sebagai cara hidup. Mengekalkan piawaian kebersihan yang baik dapat membantu mengekang penularan jangkitan, penyakit dan bau kurang menyenangkan.

“Seperti yang ditunjukkan oleh kajian, mencoret baik untuk memori dan memudahkan kefahaman konsep baharu selain membantu memperkukuhkan hubungan penjagaan kebersihan yang baik dengan kesihatan,” katanya.

Satu kajian dalam kognitif gunaan mendapati individu yang diarahkan untuk melakar atau mencoret mendengar senarai nama dibacakan kepada mereka berjaya mengingat 29 peratus lebih maklumat apabila mereka kemudian diminta menjawab kuiz secara mengejut .

Timbalan Pengarah Bahagian Ko-Korikulum dan Seni, Kementerian Pendidikan Malaysia Mahamad Amran Kamsi berkata, seni coretan menjadi platform yang baik untuk mendidik dan menarik pembabitan generasi muda dengan membenarkan mereka menyerlahkan kebolehan diri.

“Rakyat Malaysia amat kreatif dan banyak lukisan dipamerkan menunjukkan kemahiran, teknik, imaginasi dan daya cipta yang tinggi. Kementerian Pendidikan sentiasa mencari cara baru untuk mewujudkan hubungan dengan pelajar, ibu bapa dan guru bagi menggalakkan pengajaran yang berkualiti tinggi,” ujarnya.

Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia Dr Norita Shamsudin menyifatkan pertandingan boleh menyemai amalan kebersihan yang baik dalam kalangan pelajar dan dewasa.

Kategori sekolah rendah dimenangi oleh Mohd Syamil Aizat Mesman dari SK Limpoon 1; Ng Jie Xin dari SMK Tun Saban (Kategori Sekolah Menengah), Leong Ka Mun dari International Advertising, Communication and Technology College (Kategori IPT) dan Mohamad Shariffudin Mohamadiah dari Negeri Sembilan (Kategori Terbuka).

Pemenang kategori sekolah rendah, Mohd Syamil Aizat meluahkan rasa kegembiraan selepas berjaya memenangi hadiah wang tunai dan produk ekslusif Antabax.

“Saya gemar melukis dan saya kerap melakar di dalam kelas. Ia sudah menjadi tabiat setiap kali saya perlu berfikir. Saya gembira karya seni saya dipilih sebagai pemenang daripada ribuan penyertaan dan ini membuatkan saya lebih yakin dengan kemahiran lukisan saya,” katanya.

Pemenang kategori Sekolah Menengah, Ng Jie Xin pula memberitahu dia mendapat sokongan yang kuat daripada keluarganya untuk bertanding.

“Kesenian adalah minat saya. Untuk pertandingan ini saya mencipta 10 karya berbeza untuk dipilih oleh nenek saya dan ternyata pilihan nenek itu tepat. Pertandingan ini memberi ruang kepada kami menzahirkan kreativiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2017 @ 5:00 AM