MEMASAK hidangan ringkas di rumah sudah memadai.
MEMASAK hidangan ringkas di rumah sudah memadai.
HIDANGAN ringkas.
HIDANGAN ringkas.
HM Digital

Makan di luar atau membungkus makanan dari gerai dan restoran lazimnya dianggap sebagai budaya tidak sihat. Malah, menyebutnya saja, kadangkala sudah boleh membayangkan rupa nasi goreng, mi goreng mamak, lauk kari dan masak lemak.

Hampir semuanya berminyak, mengandungi lemak, bahan perasa, garam tinggi dan sebagainya.

Itu tidak termasuk cara sajian disediakan, tahap kebersihan premis dan jumlah kalori dalam makanan.

Kerana itulah makanan yang dibeli dari luar dikatakan tidak sihat, membawa risiko penyakit berjangkit dan tidak berjangkit, seterusnya dikaitkan sebagai punca serta penyebab obesiti.

Realitinya, berapa ramai antara kita termasuk golongan ibu bapa mampu mengelak daripada membeli makanan di luar? Kesibukan kerja, kekangan masa dan faktor kesesakan lalu lintas setiap kali pulang dari pejabat mengheret ramai orang untuk menjalani kehidupan mudah dengan membeli di luar.

Tabiat ini bukan saja mempengaruhi pemakanan orang dewasa, tetapi turut memberi kesan kepada anak-anak. Lantaran ibu lewat pulang dari pejabat, mereka terpaksa menikmati hidangan makanan yang dibeli dari luar.

Justeru, jika diteliti, sebenarnya majoriti masyarakat di bandar banyak bergantung kepada hidangan di gerai dan restoran sepanjang hari. Anak-anak juga melalui gaya pemakanan sama bermula daripada membeli di kantin sekolah hinggalah kepada makanan yang dibeli ibu bapa sebaik saja mereka pulang dari kerja.

Sebenarnya, makan di luar sebenarnya tidak banyak mendatangkan masalah kepada diri, keluarga dan anak-anak sekiranya setiap daripada kita tahu caranya.

SUKU-SUKU-SEPARUH

Menurut Pengurus Dietetik Pusat Perubatan Tropicana, Ho Shiau Fen, sekalipun makan atau membeli juadah di luar kerap dikaitkan dengan amalan pemakanan tidak sihat, namun ia masih boleh dikawal sekiranya pengguna bijak memilih.

“Kebiasaannya kita bebas memilih sajian mengikut selera ketika makan di luar. Anak-anak juga begitu. Asalkan makan di luar, kita seolah-olah bebas memilih apa saja yang terlintas di fikiran.

“Sebaik-baiknya, pilihlah makanan yang seimbang, mengandungi protein, karbohidrat, sayur dan buah. Sebagai contoh, kita boleh pilih sama ada mi, mihun atau nasi untuk karbohidrat di samping ikan, ayam atau telur sebagai sumber protein.

“Kalau boleh, sayur dan buah jangan ditinggalkan. Ini kerap berlaku dalam masyarakat kita. Apabila mereka makan di luar, sayur-sayuran selalu dilupakan. Begitu juga buah-buahan.

“Kurangkan juga makanan berlemak atau bergoreng seperti kari, gulai lemak, rendang, ikan dan ayam goreng. Gantikan jenis sajian ini dengan yang lebih sihat seperti sup, singgang dan asam pedas,” katanya.

Jelas Ho, ibu bapa tidak seharusnya memikirkan jalan mudah untuk membesarkan anak-anak kerana setiap perkara yang diamalkan hari ini boleh membentuk tabiat yang kurang baik apabila mereka dewasa kelak.

“Ibu bapa memainkan peranan paling penting. Kita adalah contoh terbaik untuk anak-anak. Jika kita kerap membeli dan makan di luar, anak juga akan mencontohi amalan sama.

“Sebab itulah ibu bapa kena mulakan pemakanan sihat. Sentiasa makan dalam kuantiti ‘Pinggan Sihat Malaysia’ iaitu suku-suku-separuh sebagaimana disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Suku-suku-separuh ini maknanya suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur dan buah. Jika tidak ada buah ketika makan di luar, sediakan hidangan ini untuk dinikmati bersama di rumah,” katanya.

JAUHI MAKANAN SEGERA

Satu lagi pilihan popular dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa dan anak-anak adalah hidangan makanan segera. Kata Ho, dalam menjaga kualiti pemakanan harian, setiap individu perlu mengubah sikap daripada seorang yang hanya ‘mahukan kesenangan’ kepada seorang yang lebih bertanggungjawab.

“Hari ini, ramai ibu yang hanya memikirkan pilihan mudah. Beli makanan di luar, pandu lalu restoran makanan segera atau memesan penghantaran makanan ke rumah. Sepatutnya kita kena ada usaha untuk memberikan yang terbaik untuk keluarga dan anak-anak.

“Pupuk sikap rajin dalam diri untuk memasak walaupun hanya hidangan ringkas. Pastikan kita pilih menu sajian sihat yang menepati kehendak serta pertumbuhan anak-anak.

“Ketahui bahawa kecenderungan terhadap garam, gula dan makanan berlemak bermula sejak kanak-kanak kecil. Jadi, semakin bijak anda mengawalnya pada usia muda, semakin kurang keinginan anak-anak terhadap pilihan makanan berisiko,” katanya.

TENTUKAN SAIZ HIDANGAN

Ramai ibu beranggapan kanak-kanak memerlukan saiz hidangan yang besar untuk memenuhi keperluan harian mereka. Telahan itu sebenarnya salah sama sekali.

Keperluan nutrien anak-anak tidak bergantung kepada saiz hidangan, sebaliknya diukur daripada jumlah kalori yang sepatutnya diambil berdasarkan keperluan mereka beraktiviti, umur dan jantina.

“Sebagaimana orang dewasa, kanak-anak aktif memerlukan jumlah kalori yang lebih tinggi berbanding mereka yang banyak melakukan aktiviti santai. Justeru, adalah sukar untuk menentukan saiz hidangan bagi seorang kanak-kanak. Cadangan terbaik adalah merujuk kepada Saranan Keperluan Nutrien Harian Malaysia dan menerapkan amalan Pinggan Sihat Malaysia. Untuk keterangan yang lebih tepat, anda boleh sentiasa merujuk kepada pakar dietetik.

“Jika makan di luar, kebiasaannya restoran akan menyediakan saiz hidangan dewasa. Jadi, berkongsilah hidangan dengan anak-anak. Secara tidak langsung, ia boleh membantu mengawal jumlah kalori yang diambil anda berdua.

“Selain makanan, anda juga perlu mengawal jenis minuman. Ramai antara kita seolah-olah lupa pada pantang larang minuman manis setiap kali makan di luar. Perhatikan setiap kali anda dan keluarga duduk di meja makan gerai atau restoran. Masing-masing bebas memilih minuman.

“Ketika ini kita cenderung memilih apa saja jenis minuman yang disukai tanpa memikirkan jumlah gula dan kesannya terhadap diet harian. Kenapa tidak memesan air kosong saja? Tabiat ini perlu diperbaiki terutama mereka yang tergolong dalam kelompok berisiko dan anak-anak kecil,” katanya. - Intan Mas Ayu Shahimi

TIP MAKAN DI LUAR SECARA SIHAT

1. Pilih restoran atau gerai yang menyediakan aneka sajian sihat.

2. Tidak salah jika kita bertanya bukan? Sambil menempah makanan, ringankan mulut untuk bertanya bagaimana kaedah masakan dan kandungan dalam sajian. Ini boleh membantu anda memilih hidangan dengan lebih baik.

3. Jangan lupakan pengambilan sayur dan buah dalam diet harian. Cuba variasikan hidangan untuk menarik minat anak-anak.

4. Kurangkan pengambilan air manis.

5. Lengkapkan diri dengan maklumat pemakanan sihat daripada sumber yang boleh dipercayai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Februari 2018 @ 11:16 AM