Oleh Mohd Ruzaini Zulkepli

Tuaran: Seorang ibu muda tergamam apabila anak bongsunya berusia 18 bulan diterbangkan angin dalam kejadian ribut di Kampung Dungang, di sini.

Dalam kejadian 11.50 malam, Jumaat, 3 Julai, Nurhasyikin Jainudin, patah peha kanan selepas terhumban di sawah, kira-kira 150 meter dari rumahnya.

Nurhayba Nashid, 25, ibu bayi berkenaan berkata, dia tidak sempat menarik anak perempuannya yang ketika itu sedang tidur dalam buaian.

"Saya terjaga daripada tidur sebaik menyedari ribut melanda kawasan rumah kami.

“Ketika itu, saya lihat bumbung rumah bergoyang kuat sebelum 'terbang' bersama anak saya yang berada dalam buaian," katanya ketika dihubungi, di sini.

Nurhayba berkata, dia sempat mencapai buaian yang digantung pada alang bumbung namun angin terlalu kuat menyebabkan genggamannya terlepas.

"Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya hanya mampu menjerit apabila melihat anak saya hilang diterbangkan ribut.

"Saya kemudian bergegas keluar memcari sebelum menemuinya di sawah berhampiran. Saya kemudian meminta bantuan jiran untuk menghantar kami ke Hospital Tuaran bagi mendapatkan rawatan," katanya.

Katanya, pemeriksaan doktor mengesahkan anak keduanya itu patah peha kanan selain calar pada tubuh dan dirujuk ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Abdul Fuad Abdul Malik, ketika dihubungi menjelaskan pihaknya tidak menerima laporan mengenai kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 11:53 AM