JESSICA bermain piano dengan menggunakan kakinya.
JESSICA bermain piano dengan menggunakan kakinya.
JESSICA menjadi wanita pertama tanpa tangan yang lulus ujian lesen penerbangan.
JESSICA menjadi wanita pertama tanpa tangan yang lulus ujian lesen penerbangan.
AKTIVITI harian seperti menuang air tidak menjadi masalah buat Jessica.
AKTIVITI harian seperti menuang air tidak menjadi masalah buat Jessica.
PATRICK sentiasa membantu Jessica membuat kerja rumah.
PATRICK sentiasa membantu Jessica membuat kerja rumah.

Apabila melihat keadaan Jessica Cox yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, mungkin ramai yang beranggapan wanita itu menjalani kehidupan yang sukar.

Bagaimanapun, wanita berusia 32 tahun itu membuktikan sebaliknya apabila dia mampu melakukan apa sahaja seperti manusia normal dengan hanya menggunakan kaki.

Sewaktu kecil Jessica diberi tangan palsu tetapi dia tidak mahu bergantung padanya lagi dan hanya meng­gunakan kaki untuk melaksanakan tugasan seharian.

“Tiada apa yang boleh menggantikan kebolehan daging dan tulang sendiri dan kaki saya mempunyai kebolehan itu,” katanya.

Sejak itu, dia membuktikan yang dia juga mampu melakukan aktiviti seperti manusia normal dengan hanya menggunakan kakinya.

Apa yang dicapai wanita berbadan kecil tetapi mempunyai semangat yang luar biasa ini sanggup mengagumkan.

Lima tahun lalu, dia menjadi wanita pertama tanpa tangan lulus lesen juruterbang selepas belajar hanya menggunakan kaki.

Jessica juga menjadi orang pertama tanpa tangan memakai tali pinggang hitam di persatuan seni mempertahankan diri taekwondo di Amerika Syarikat (AS).

Dia kemudian berkahwin dengan Patrick Chamberlain, 30, yang menjadi pengajar taekwondo di Tucson, Arizona.

Jessica sekali lagi membuktikan kecacatan tidak menghalangnya daripada dicintai dan mencintai.

Jessica berkata, dia bertemu Patrick sewaktu menyertai kelas latihan taekwondo.

Ketika itu dia menjadi tenaga pengajar bersama rakan saya.

“Kami mula mengenali satu sama lain sebagai pengajar dan pelajar dan kemudian berjumpa di luar ketika majlis sosial.

“Dia akhirnya mengajak saya keluar bersama dan begitulah seterusnya,” ujarnya.

Menurut Patrick, dia dan Jessica sudah bersama selama beberapa bulan sebelum membuat keputusan untuk berkahwin.

“Sikapnya yang tidak mudah berputus asa, sentiasa positif dan tidak dapat dihalang membuka mata saya sejak kali pertama bertemu,” katanya.

Jessica dan Patrick berkahwin pada 2012 dan tinggal bersama di Tucson.

Selain itu, Jessica juga lulus ujian lesen memandu dan mampu mengendalikan kereta dengan baik tanpa sebarang pengubahsuaian.

Jessica juga boleh menaip pada papan kekunci dan bermain piano malah dia turut menyiapkan dua lagu duet bersama suaminya.

“Sekarang kami sedang mempelajari lagu daripada filem animasi popular Frozen, Let It Go. Walaupun sukar tapi kami akan mencubanya lagi.

“Tentu orang fikir kekurangan yang saya alami menyebabkan pergerakan saya terhad tetapi saya berjaya membuktikan yang mereka salah,” ujarnya.

Walaupun cacat, dia menyertai gimnastik ketika berusia tiga tahun dan berenang ketika berumur lima tahun.

“Saya mula belajar menari dan membuat peragaan fesyen pada usia enam tahun.

“Ketika berusia 10 tahun pula, saya menyertai taekwondo,” jelasnya.

Bagaimanapun, Jessica tetap berdepan dengan kesukaran ketika melakukan beberapa tugas harian seperti mengenakan pakaian.

“Patrick terpaksa memasang penyangkut pada dinding bagi membolehkan saya menggantung pakaian dan kemudian memakainya.

“Kadangkala penyangkut menyebabkan pakaian saya berlubang,” katanya.

Ujarnya, dia sukar untuk menukar pakaian dalam tandas awam kerana ketiadaan penyangkut.

“Oleh itu, saya sering membawa penyangkut ke mana sahaja sejak berusia 18 tahun,” jelasnya.

Jessica juga memerlukan bantuan seseorang untuk menyikat dan merapikan rambutnya.

“Patrick belajar bagaimana untuk mengikat rambut, membuat sanggul dan tocang.

“Saya rasa sangat istimewa kerana dia tahu betapa rimasnya saya kalau rambut terkena muka,” katanya.

Pada 2008, Jessica diiktiraf oleh Buku Rekod Dunia Guinness apabila menerima lesen juruterbang sekali gus menjadi wanita pertama mengendalikan pesawat menggunakan kaki.

“Proses mengambil lesen juruterbang mengambil masa tiga tahun, tiga pesawat berbeza dan 80 jam penerbangan ke tiga negeri.

“Segala usaha dan penat lelah saya berbaloi kerana saya kini juruterbang yang sah,” ujarnya.

Pasangan itu bekerja dan melancong bersama memandangkan Jessica sering mendapat jemputan sebagai ­penceramah motivasi.

“Saya tak mungkin dapat lalui semua ini tanpa bantuan suami saya yang menjadi pengurus dan membantu saya berhadapan dengan media,” jelasnya.

Pasangan itu kini merancang untuk mendapatkan anak tetapi pada masa yang sama Jessica tetap mahu terus memberikan inspirasi kepada orang lain.

“Jika kami ditakdirkan memiliki anak tanpa tangan, kami tidak akan teragak-agak untuk meneruskan kehidupan sama seperti yang kami jalani ini.

“Kami masih mempunyai banyak masa untuk memulakan keluarga dan terus mengelilingi dunia.

“Kami mahu mengubah persepsi orang ramai mengenai orang kurang upaya,” tegasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:06 AM