KINI mengandung 3 bulan, alami alahan terhadap bau haruman.
KINI mengandung 3 bulan, alami alahan terhadap bau haruman.
Oleh Ramlah Zainal


Bukan saja bahagia melayari kehidupan berumah tangga, pelakon Hanez Suraya, 30, dan suaminya, Romie Razin Adilha, 35, juga bakal menimang cahaya mata tidak lama lagi.

Menurut Hanez yang manis berhijab, dia dan suami teruja menantikan kehadiran orang baru yang menjadi pelengkap keluarga mereka.

“Saya sangat bersyukur dengan anugerah tidak ternilai ini. Kami tidak kisah soal jantina sama ada lelaki atau perempuan kerana yang penting bayi sihat dan cukup sifat.

“Alhamdulillah, usia kandungan sudah mencecah 3 bulan dan berada dalam keadaan baik.

“Seperti wanita hamil lain, saya mengidam nak makan sesuatu, tetapi cari sendiri dan mengalami masalah alahan bau wangian serta masakan. Malah, saya terpaksa sorok semua minyak wangi di rumah,” katanya.

Kongsi Hanez lagi, memandangkan kandungan masih awal dia belum membeli barangan dan kelengkapan bayi.

“Maaflah, saya juga tidak dapat dedah tarikh jangkaan bersalin. Insya-Allah saya akan berpantang di kediaman keluarga di Seremban,” katanya.

Ditanya bagaimana penerimaan dua anak tirinya, Hanez berkata, Putra Adreeshah, 9, dan Putra Rayqarl Shah, 3, sangat gembira malah tidak sabar bertemu adik mereka.

“Sejak berkahwin, anak tinggal dengan kami. Sepanjang Ramadan saya banyak berehat bersama keluarga dan menjaga kandungan sebaik mungkin.

“Selain menjalani ibadah puasa dan Tarawih, ada juga saya menghadiri undangan majlis berbuka puasa bersama anak yatim.

“Suami suka saya masak juadah berbuka tapi kerana saya alah, kami terpaksa berbuka di luar. Antara juadah kegemaran suami ialah ikan kurau masak lemak nanas dan saya pula roti john,” katanya.

Belum bersara

Selepas berumah tangga, Hanez memperlahankan karier seni kerana ingin menumpukan perhatian terhadap keluarga. Drama terakhir lakonannya adalah I Love You Mr Arrogant! yang bersiaran di TV3.

“Selepas berkahwin, anak dan suami jadi keutamaan saya. Saya juga menghormati permintaan suami yang meminta memperlahankan aktiviti seni. Namun, cinta saya terhadap bidang lakonan tidak pernah berkurang.

“Ada tawaran berlakon sebelum menunaikan umrah, tetapi terpaksa saya tolak kerana mahu fokus ibadah dan suami.

“Insya-Allah andai ada tawaran selepas ini saya akan terima. Selain berlakon, saya merancang menceburi bidang perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 5:07 AM