Anggota penyelamat meronda di sekitar feri yang karam bagi mencari mangsa. - Foto AFP
Anggota penyelamat meronda di sekitar feri yang karam bagi mencari mangsa. - Foto AFP

Manila: Penumpang feri yang karam mengorbankan 36 orang di tengah Filipina, menyatakan nampak bahagian depan feri diperbuat daripada kayu itu terangkat sebelum feri berkenaan terbalik dan tenggelam perlahan-lahan awal petang tadi.

Feri berkenaan - Kim Nirvana - yang membawa 173 penumpang dan 16 anak kapal terbalik kira-kira jam 4 petang, 30 minit selepas meninggalkan pelabuhan Ormoc di Pulau Leyte menuju kepulauan Camotes akibat dipukul ombak besar.

kira-kira 53 mangsa sudah dibawa ke hospital dan penyelam masih mencari mangsa yang mungkin terperangkap dalam kapal yang terbalik itu.

Jurucakap Pejabat Pengurusan Risiko Ormoc City, Ciriaco Tolibao, berkata feri berkenaan karam kira-kira satu kilometer dari pelabuhan.

“Kami masih melakukan gerakan mencari dan menyelamat sekitar feri berkenaan dan berharap dapat menemui mangsa sama ada yang masih hidup atau tidak sebelum malam,” katanya kepada AFP

Sementara itu AP melaporkan antara mangsa yang terselamat ialah tiga rakyat Amerika Syarikat dan seorang rakyat Kanada.

Dalam temuramah melalui telefon, Lawrence Drake, 48, dari Rochester, New York, berkata dia menyelamatkan seorang wanita dengan memberi bantuan pernafasan mulut ke mulut.

Bekas anggota bomba dan ahli bantuan perubatan kecemasan itu juga menyelamatkan anak perempuan wanita itu yang hamil serta seorang budak lelaki berusia lapan tahun.

Menurutnya, dia nampak kira-kira tujuh mayat terapung di sekitar feri berkenaan, termasuk dua kanak-kanak.

Drake yang berkahwin dengan wanita Filipina, dalam perjalanan dengan isterinya dari Ormoc ke Camotes bersama ibu mentuanya. Mereka terselamat kerana sempat berenang keluar dari feri ketika ia terbalik. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 6:26 PM