FOTO Bernama
FOTO Bernama

Putrajaya: “Terima kasih kerana menjadi seorang ayah dan juga seorang cikgu untuk saya di sekolah,” demikian antara bait-bait ayat dalam gambar Nor Hafizi Md Amin sehingga melayakkannya memenangi hadiah utama kategori foto peraduan #SayaSayangCikguSaya dan #GuruInspirasiku sempena Hari Guru 2015.

Gambar yang dimuat naik Nor Hafizi, 17, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maokil, Labis di akaun Instagram miliknya, memaparkan kenangan bersama guru subjek kimia Muhamad Sabri Ibrahim.

Nor Hafizi berkata daripada banyak guru di sekolahnya, beliau memilih Muhamad Sabri bukan sahaja kerana beliau memiliki sifat seorang pendidik bersikap terbuka, malah didorong oleh minatnya yang mendalam terhadap subjek kimia.

“Semasa saya ambil gambar-gambar ini, saya tidak maklumkan kepada cikgu yang saya mahu menyertai pertandingan ini kerana mahu buat kejutan,” katanya kepada pemberita selepas penyampaian hadiah peraduan Hari Guru 2015 oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Bagi Muhamad Sabri pula, beliau tidak menyangka gambar yang dirakamkan anak muridnya itu sebelum cuti persekolahan bulan lepas adalah untuk peraduan dan akhirnya berjaya memenangi hadiah utama.

Wan Muhammad Zaidi Wan Muhamat Ismail, 17, pula tidak menyangka rakaman video memberi kejutan kepada guru matematiknya, Wan Azlina Wan Ahmad berjaya merangkul hadiah utama bagi kategori video.

Menurut pelajar SMK Belimbing, Tanah Merah, Kelantan itu, Wan Azlina merupakan seorang guru yang sangat penyayang dan dianggap seperti ibunya.

“Kemenangan ini kira hadiah istimewa saya kepada cikgu Wan Azlina kerana tahun ini adalah tahun terakhir saya di sekolah itu,” katanya.

Berbeza dengan Martina Iju Jamba dari SMK Kai Chung, Bintangor, Sarawak yang memperoleh hadiah sagu hati kategori video, iaitu rakaman yang dibuatnya dianggap sebagai “dua dalam satu.”

Ini kerana rakaman video memperlihatkan hubungan mesra antara seorang pelajar dengan seorang guru, Elimina Kikik Lee, dan juga menceritakan hubungan kasih antara anak dan ibu.

“Ibu saya adalah guru saya dan video ini saya buat sebagai hadiah hari ibu dan juga hari guru,” katanya.

Peraduan #SayaSayangCikguSaya dan #GuruInspirasiku bermula 4 Mei lepas, dan sebanyak 6,678 penyertaan diterima dari seluruh negara menerusi laman sosial Instagram. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 10:14 PM