Mahdzir Khalid bermesra dengan pemenang hadiah #Gurukusekolahku sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 anjuran Media Prima Berhad (MPB) di Putrajaya. Foto Fariz Iswadi Ismail.
Mahdzir Khalid bermesra dengan pemenang hadiah #Gurukusekolahku sempena sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2017 anjuran Media Prima Berhad (MPB) di Putrajaya. Foto Fariz Iswadi Ismail.
Nursyahirah Marzuki


SERAMAI 20 pelajar diumum sebagai pemenang Peraduan Hari Guru 2017, #gurukusekolahku yang dianjurkan Media Prima Berhad dan Kementerian Pendidikan.

Pengurus Rangkaian Pemasaran, Rangkaian Radio Media Prima K Vickneswaran berkata, peraduan itu adalah satu daripada platform kepada pelajar bagi menyatakan penghargaan mereka terhadap jasa dan pengorbanan golongan pendidik.

"Pelajar hanya perlu memuat naik gambar atau video mereka bersama guru di media sosial Instagram serta berkongsi cerita mengenai guru yang memberi inspirasi kepada mereka dalam mencapai kejayaan menerusi #gurukusekolahku.

"Ini tahun keempat peraduan ini diadakan dengan mendapat sambutan menggalakkan daripada 3,604 penyertaan dari sekolah di seluruh negara," katanya ketika ditemui di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyempurnakan majlis berkenaan serta menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Selain itu, majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan II Datuk Chong Sin Woon, Ketua Setiausaha Datuk Seri Alias Ahmad, Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof, Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan Media Prima Berhad Shareen Ooi dan Timbalan Pengarang Kumpulan Harian Metro Ahmad@Salim Bachok.

Dalam pada itu, Vickneswaran berkata, penyertaan dibuka pada 13 April hingga 21 Mei lalu itu mendapat sambutan menggalakkan sekali gus memberi peluang kepada pelajar mengasah kreativiti mereka.

"Malah, kita juga berharap peraduan ini dapat diteruskan pada tahun akan datang dengan lebih banyak penyertaan," katanya.

Katanya, setiap pemenang masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM300, kamera Instax bagi kategori fotografi dan pembesar suara bluetooth (kategori video).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 5:26 PM