Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Misi tercapai. Meraih kejuaraan kali kedua berturut-turut benua Amerika Utara merealisasikan impian Datuk Lee Chong Wei (gambar) untuk memperbaiki kedudukan ranking bagi membantunya menempatkan diri di Sukan Olimpik 2016 Rio.

Semalam, Chong Wei tidak berdepan masalah merangkul gelaran juara Grand Prix (GP) Terbuka Kanada 2015 apabila menumpaskan Ng Ka Long Angus dari Hong Kong 21-17, 21-13 dalam perlawanan yang berlangsung selama 35 minit.

Minggu lalu bekas pemain nombor satu dunia itu berjaya meraih kejuaraan sulung di GP Emas Terbuka Amerika Syarikat 2015 selepas digantung selama lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) kerana gagal ujian doping di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.

Menurut jurulatihnya, Hendrawan, semua yang dirancang dan disasarkan sempena kunjungan anak buahnya ke Amerika Syarikat dan Kanada berlangsung dalam keadaan baik.

“Tidak kira sama ada Chong Wei muncul juara dengan perlu menempuh saingan rubber set ataupun straight set, ia adalah perkara biasa buat seseorang pemain. Tidak semua pemain mampu memenangi sesuatu perlawanan dengan hanya mengharungi straight set,” katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 7:18 AM