Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Tiga anggota polis ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sebuah restoran di bandar ini, petang semalam kerana dipercayai menerima suapan sebanyak RM12,000 bagi membebaskan enam wanita warga China.

Sumber SPRM berkata, tiga anggota terbabit ditahan kira-kira 2.30 petang ketika selesai berurusan bagi melepaskan enam wanita terbabit yang sebelum ini ditahan polis.

Menurutnya, seorang anggota polis wanita berpangkat Lans Koperal yang diarahkan untuk menguruskan tahanan terbabit yang ditempatkan di Lokap Berpusat Shah Alam untuk dihantar ke Jabatan Imigresen Shah Alam namun anggota terbabit tidak berbuat demikian.

"Sebaliknya anggota terbabit bertemu dengan seorang lagi anggota polis berpangkat sama untuk menerima wang sebanyak RM12,000 bagi membebaskan wanita terbabit.

"Bagaimanapun, selepas selesai urusan penyerahan wang dan wanita terbabit, sepasukan pegawai dan anggota SPRM menahan mereka selain menemui wang tunai di dalam beg sandang anggota wanita terbabit," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit dan berkata siasatan lanjut sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2015 @ 3:28 PM