FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

PEGAWAI polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM12,000 pada 2019.

Menurut sumber SPRM, lelaki yang berusia 42 tahun itu ditahan selepas memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Bintulu pada 12.45 tengah hari tadi.

"Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang suapan daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi melindungi kegiatan menjual nombor ekor haram, arak dan rokok tanpa cukai di sebuah daerah di Sarawak sekitar Jun sehingga Disember tahun lalu," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bintulu, esok untuk mendapatkan perintah reman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2020 @ 6:57 PM