GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan bagi membantu siasatan berkaitan kes salah guna kuasa dengan meminta dan menerima rasuah.

Sumber SPRM berkata, selain pegawai polis berusia 46 tahun itu, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 31 tahun turut ditahan di Taman Prima Salayang, Batu Caves, kira-kira 6 petang semalam.

"Difahamkan, warga Bangladesh itu menemui seorang lelaki rakan senegaranya di Damansara Damai dan meminta wang rasuah RM5,000 untuk diberikan kepada pegawai polis berkenaan sebagai dorongan untuk membebaskan pekerjanya.

"Pekerja itu ditahan polis kerana tidak memiliki dokumen dan permit kerja yang sah," katanya di sini, hari ini.

Menurut sumber itu, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 5 April depan bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 9:29 PM