Kuantan: Dua majikan masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar perintah gaji minimum pada Mei lalu.

Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah menjatuhi hukuman itu ke atas pengarah syarikat Goober Go Enterprise atas kesalahan gagal membayar gaji pokok RM900 bagi April kepada seorang daripada pekerjanya.

Pengarahnya, Goh Tien Hock, didakwa melakukan kesalahan itu pada 12.30 tengah hari di Lot 83141, Jalan Sungai Lembing, Kuantan, 29 Mei lalu.

Sementara itu, Pang Siew Lian, pengarah syarikat Man Kiong Trading, turut didenda atas pertuduhan yang sama kerana didapati gagal membayar gaji pokok seorang pekerjanya berjumlah RM34.62 sehari selama empat bulan iaitu daripada Januari hingga April 2014.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Man Kiong Trading Sdn Bhd, Batu 8 1/2, Tanjung Pasir, Sungai Lembing pada 27 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didapati melanggar Peraturan 4, Perintah Gaji Minimum 2012, Seksyen 43, Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap pekerja, jika disabit kesalahan.

Mereka kemudian membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Tenaga Kerja Pahang, Yuszatunaim Yusof dan Ahmad Saad. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 9:33 PM