GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Empat majikan didenda membabitkan nilai keseluruhan RM46,500 selepas didapati melanggar undang-undang perburuhan negara.

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah syarikat dalam sektor perhotelan didenda RM12,000 atas pelanggaran Seksyen 19(1) Akta Kerja 1955 membabitkan kesalahan lewat membayar gaji kepada pekerja di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pada 8 Februari lalu.

Di mahkamah sama, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan keselamatan atau sekuriti juga didenda RM12,000 kerana melanggar Seksyen 43 Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) iaitu gagal mematuhi bayaran gaji minimum RM1,500.

Selain itu, pada 19 Februari lalu, sebuah syarikat dalam sektor perkhidmatan pembersihan didenda RM2,500 bagi kesalahan di bawah Seksyen 43 Akta 732 oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Sebuah syarikat dalam sektor perlombongan dan pengkuarian pula didenda RM20,000 di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pelanggaran Seksyen 24D(1) Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) pada Khamis lalu (22 Februari).

"JTKSM akan terus mempergiatkan penguatkuasaan dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana majikan atau syarikat yang didapati melanggar peruntukan perundangan perburuhan negara," menurut kenyataan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2024 @ 2:03 PM