Kuala Terengganu: Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mencadangkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya mengkaji semula sama ada perlu mengadakan perlawanan dalam bulan Ramadan pada musim depan.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata FAM perlu menilai kembali perkara itu bagi menghormati bulan puasa selain itu majoriti pemain adalah beragama Islam.

Katanya sepatutnya FAM membatalkan keseluruhan perlawanan sepanjang bulan Ramadan ini bukan hanya sesetengah negeri sahaja dibenarkan menunda perlawanan.

“Kita telah sepakat untuk menyatakan bantahan kepada FAM berhubung perlaksanaan perlawanan bola sepak sepanjang bulan puasa dan kita harap pada musim depan FAM dapat satu keputusan yang terbaik.

“Kalau permohonan Kelantan (untuk menunda perlawanan) boleh diterima, mengapa kebenaran menunda perlawanan tidak diberikan kepada semua negeri dan ia perlu dilakukan demi menghormati bulan Ramadan,” katanya.

Ketika pemain rancak bermain di tengah padang pada perlawanan pertama Terengganu menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Sabtu lepas, orang ramai masih menunaikan solat Terawih.

Wan Ahmad Nizam berkata walaupun hanya sunat melakukan solat Terawih namun sebagai umat Islam bulan mulia ini harus dihormati.

“Kita harap pemain dapat menunjukkan prestasi terbaik bagi menghabiskan baki perlawanan yang ada pada sepanjang bulan ini...dan FAM dapat menilai kembali perkara ini,” katanya.

Dalam perlawanan Sabtu lalu Skuad Penyu tewas 0-1 kepada pasukan pelawat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:17 AM