Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Selepas tidak dapat melakukan solat terawih secara berjemaah di masjid dan surau gara-gara Covid-19, pada tahun lalu, orang ramai yang ditemui malam tadi menyifatkan Ramadan kali ini amat dinanti-nantikan.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Jamek Taman Kasih, di sini, Mohd Khalid Ali, 70, berkata, dia sangat gembira dan bersyukur dapat melaksanakan solat fardu Maghrib, Isyak dan terawih secara berjemaah kali ini.

Katanya, walaupun teruja, dia memastikan jemaah yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk memakai pelitup muka, membawa sejadah dan mengambil bacaan suhu badan.

"Tahun lepas mana dapat, Alhamdulillah tahun ini gembira dapat solat terawih ramai-ramai sebab dari dulu saya fikir dapat ke tak dapat (solat terawih tahun ini).

"Saya pun bertugas menjaga di sini, saya tengok mereka tulis dan pantau orang tak bawa sejadah. Yang mana tak bawa sejadah kita sediakan sejadah, pakai pelitup muka, itu SOP, budak tujuh tahun ke bawah tak boleh.

"Suhu badan diambil dan kita sudah tanya doktor berkenaan dan bersedia menghalang mereka yang bersuhu tinggi untuk masuk ke masjid.

"Alhamdulillah, ramai mengikut SOP, cuma sejadah ini ada bawa yang kecil dan pengerusi menasihatkan mereka bawa sejadah besar," katanya ketika ditemui.

ORANG ramai menunaikan solat terawih pada malam pertama Ramadan di Masjid Jamek Taman Kasih, Kluang, malam tadi. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT
ORANG ramai menunaikan solat terawih pada malam pertama Ramadan di Masjid Jamek Taman Kasih, Kluang, malam tadi. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT

Beliau berkata, imam memendekkan bacaan surah selain solat tidak lagi dipimpin imam jemputan dari pusat tahfiz berbanding tahun sebelum ini.

Menurutnya, kapasiti masjid itu boleh memuatkan 750 dan malam tadi, kira-kira 500 jemaah hadir menunaikan solat Maghrib, Isyak dan terawih.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Kebajikan Sekolah Agama Seri Lalang, Datuk Mohd Fadel Alwi menyifatkan Ramadan kali ini umpama 'malam pertama' yang sangat dinanti-nantikan.

"Pertama kali kita bersyukur kepada Allah SWT kerana diberi keizinan untuk sama-sama mengimarahkan malam pertama Ramadan dengan solat terawih.

"Kerana pada waktu Covid-19 macam ini kita diberi peluang dan ruang untuk beribadah bersama-sama, dan saya melihat warga kampung ini amat teruja dengan malam pertama selepas tahun lepas tidak dapat bersama-sama.

"Kita rindukan solat terawih bersama keluarga seperti dilaksanakan pada tahun lalu kerana saya mengimamkan sendiri, tetapi kali ini kita semua dapat melaksanakannya di masjid dan surau," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 11:21 AM