ORANG ramai berpusu pusu membeli juadah berbuka puasa semasa di Bazar Ramadan. FOTO GHAZALI KORI
ORANG ramai berpusu pusu membeli juadah berbuka puasa semasa di Bazar Ramadan. FOTO GHAZALI KORI
Dr Mohd Shukri Hanapi

Kini umat Islam sudah berada pada Ramadan  al-Mubarak. Pada bulan ini, semua umat Islam diwajibkan menunaikan ibadah puasa. Bagi umat Islam yang berpuasa, mereka akan mendapat dua kegembiraan iaitu gembira sewaktu berbuka puasa dan gembira sewaktu bertemu dengan Tuhannya nanti (maksud hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Justeru, dalam kegembiraan umat Islam membuat persiapan untuk berbuka puasa, mereka tidak seharusnya lalai dan leka sehinggakan melanggar peraturan berbelanja yang dianjurkan oleh Islam. Oleh sebab terlalu gembira kadangkala menyebabkan umat Islam tidak sedar bahawa mereka telah melanggar peraturan yang ditetapkan oleh Islam iaitu boros dalam perbelanjaan. Jika hal ini berlaku, ia dibimbangi akan menghalang kita daripada bertemu Allah SWT dengan penuh kegembiraan.

Pemborosan di sini bererti mengeluarkan wang ringgit atau menggunakan barang secara berlebih-lebihan dengan cara yang membazir. Dalam perkataan lain, penggunaan wang atau barang melebihi kecukupan atau keperluan hidup seseorang. Misalnya, membeli makanan yang berlebih-lebihan untuk berbuka puasa sehinggakan ia tidak mampu dihabiskan. Begitu juga dengan makanan yang dibeli secara berlebih-lebihan itu yang habis dimakan, namun ia menyebabkan terlalu kenyang atau sengkak sehingga sukar untuk melaksanakan ibadah.

Amalan pemborosan ini amat dilarang oleh Allah SWT sehinggakan Ia melabelkan orang-orang yang memboros itu sebagai saudara mara syaitan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada Tuhannya." (Surah al-Isra' ayat 27)

Dalam ayat ini, orang yang melakukan pemborosan itu digambarkan sebagai saudara- mara syaitan. Gambaran ini amat keras kerana syaitan itu makhluk yang paling angkuh dan ingkar terhadap perintah Allah SWT.

Berhubung larangan pembaziran ini juga, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Allah SWT telah mengharamkan ke atas kamu menderhaka kepada ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberi (menyedekah) harta miliknya, tetapi meminta-minta milik orang lain dan ditegah ke atas kamu tiga perkara, iaitu mengada-adakan cerita, banyak bertanya dan membazirkan (boros) harta." (Riwayat al-Bukhari)

Perkara ini juga dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ketika Mu'awiyah berkunjung ke Kufah, maka Abdullah bin Amr bercerita tentang Rasulullah SAW. Katanya, Rasulullah SAW tidak pernah melampaui batas dan tidak pernah melakukan perkara keji (seperti pemborosan). Beliau juga berkata bahawa Rasulullah SAW h bersabda: "Orang yang paling baik di antara kamu ialah orang yang paling baik budi pekertinya." (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW itu, pemborosan adalah perbuatan keji dan amat dilarang oleh Islam. Ia patut ditinggalkan oleh orang yang mengaku diri mereka benar-benar beriman.

Pada bulan Ramadan, pemborosan yang sering dilakukan ialah pada aspek makanan dan minuman, terutama sekali ketika membuat persiapan untuk berbuka puasa. Maksudnya membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan sehinggakan ia tidak mampu habis dimakan atau dimakan habis hingga terlalu sengkak. Kadangkala dilihat waktu berbuka puasa itu bagaikan pesta makanan dengan berbagai-bagai macam juadah hidangan.

Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang manusia, tetapi pada hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai suatu pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang. 

Keghairahan untuk membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman yang dibeli itu sekali gus. Baki atau lebihan makanan dan minuman yang dibuang kerana tidak terdaya dimakan itulah yang dikatakan pembaziran.

Sebenarnya, isu boros ini memang berlaku di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Walau bagaimanapun ketika menjelang Ramadan isu boros ini sering disebut-sebut, terutama sekali dalam tazkirah dan khutbah Jumaat. Di sini perlu difahami bahawa tuntutan puasa yang sebenarnya adalah lebih daripada menahan diri daripada makan dan minum semata-mata. Puasa adalah suatu bentuk latihan praktikal bagi mendidik roh, minda, jasad dan nafsu manusia ke arah pengabdian dan kepatuhan kepada Allah SWT.

Justeru, kita perlu sedar bahawa Ramadan yang sedang dilalui ini banyak mendidik nafsu dan jasad kita agar sentiasa berjimat cermat dalam berbelanja.

Berbekalkan didikan praktikal yang kita terima dalam bulan Ramadan ini, kita akan manfaatkannya untuk mengharungi kehidupan dalam sebelas bulan yang akan datang. Apa akan jadi dengan kehidupan sebelas bulan yang akan datang, jika dalam bulan Ramadan pun kita tetap berbelanja secara boros? 

Sebenarnya cara perbelanjaan dalam bulan Ramadan bergantung kepada nafsu yang menguasai jiwa seseorang manusia itu.

Selagi ia dipengaruhi oleh nafsu  ammarah,  lawwamah  atau  mulhamah  iaitu nafsu-nafsu yang mendorong kepada sifat  mazmumah (terkeji), kemahuan mereka menjadi tidak terhad dan sukar dikawal. Apabila kemahuan mereka sudah tidak terhad, maka tanpa rasa bersalah mereka berbelanja secara boros.  

Untuk mengawal diri daripada bersikap boros, kemahuan yang tidak terhad ini perlu dihadkan dan dikawal terlebih dahulu. Caranya adalah dengan menghapuskan nafsu jahat dan menggantikannya dengan sifat terpuji (mahmudah), seperti nafsu  mutmainnah,  radhiyah,  mardhiyah  dan  kamilah. Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup. Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran itu dilakukan ketika ada segelintir dari ahli masyarakat yang terlalu memerlukan bantuan.

Pada pandangan saya, salah satu cara yang paling berkesan untuk menghapuskan sikap boros dalam diri seseorang Muslim ini ialah kita juga seharusnya mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa dalam keadaan serba kedaifan dan kekurangan.

Mereka juga inginkan menjamah makanan yang lazat-lazat seperti orang lain. Namun, kedaifan membuatkan mereka berbuka dengan menjamah apa-apa sahaja makanan yang ada.

Oleh itu, alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran yang keji itu dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan yang kita hulurkan kepada golongan yang tidak berada, Allah SWT pula akan menyediakan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda kepada kita.

Mereka juga akan menghargai pemberian itu dan berasakan kita sentiasa mengingati mereka. Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT memfardukan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan sebuah masyarakat penyayang dan berwawasan.

Berhubung perkara ini Allah SWT telah jelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanja-belanjakan (hartamu) secara membazir (boros)." (Surah al-Isra' ayat 26)  

Dalam ayat ini, Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan amat melarang amalan berbelanja secara berlebih-lebihan sehinggakan membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah sama-sama kita meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan sesuatu yang baik lagi terpuji di sisi Allah SWT.  

Penulis Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2023 @ 7:00 AM