PEROKOK lebih 10 tahun adalah golongan paling berisiko alami penyakit sekatan pulmonari kronik.
PEROKOK lebih 10 tahun adalah golongan paling berisiko alami penyakit sekatan pulmonari kronik.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


GEJALA penyakit ini hampir sama seperti sesak nafas dan nafas berbunyi menyebabkan ramai yang sukar untuk membezakan di antara asma dengan penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

Hal ini juga menyebabkan ramai pesakit lewat mendapatkan rawatan tepat yang pada akhirnya penyakit COPD dihidapinya hanya didiagnosis sudah di peringkat lanjutan.

COPD ialah penyakit kronik sistem pernafasan apabila terjadi penyempitan dan radang (inflamasi) pada saluran pernafasan.

Asma pula adalah penyakit paru-paru kronik yang membengkak dan menyempitkan saluran pernafasan.

Ketua Jabatan Pulmonologi Hospital Serdang Dr Jamalul Azizi Abdul Rahaman berkata, golongan paling berisiko menghidap COPD ialah perokok yang sudah lebih 10 tahun menghisap rokok.

Menurutnya, itu adalah sebab kebanyakan pesakit COPD ialah antara kalangan mereka yang berusia lebih 40 tahun.

"Asap rokok yang disedut membuatkan saluran pernafasan dan paru-paru mengalami keradangan serta kerosakan yang akhirnya mengakibatkan otot saluran udara menyempit.

"Selain itu, dinding kantung udara turut rosak menyebabkan kekurangan kawasan permukaan pertukaran karbon dioksida dan oksigen.

PERBANDINGAN paru-paru sihat dengan COPD.
PERBANDINGAN paru-paru sihat dengan COPD.

"Ini menyebabkan udara terperangkap dalam paru-paru kerana karbon dioksida tidak dapat dihembus sepenuhnya.

"Keadaan ini meninggalkan ruang yang kurang untuk menyedut masuk oksigen dan mengakibatkan pesakit berasa sesak nafas," katanya.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, COPD adalah penyebab ketiga kematian di dunia dengan 3.23 juta kematian dilaporkan pada 2019.

Menurut 'National Heart Lung and Blood Institute' di Amerika Syarikat, dianggarkan 16 juta orang dewasa di negara itu menghidap COPD.

Pada 16 November, Hari COPD Sedunia diraikan setiap tahun. Sambutan tahun ini bertemakan 'Paru-Paru Untuk Kehidupan' yang menekankan kepentingan kesihatan paru-paru sepanjang hayat.

Dr Jamalul Azizi yang juga Pakar Perunding Pulmonologi berkata, perokok pasif atau dikenali sebagai perokok kedua juga berisiko menghidap COPD, selain individu sudah lama terdedah dengan pencemaran udara daripada industri atau asap pembakaran sampah di rumah.

TIMBALAN Pengarah Hospital Serdang, Dr Siva Kumaran (dua dari kiri) merasmikan World COPD Day 2022.
TIMBALAN Pengarah Hospital Serdang, Dr Siva Kumaran (dua dari kiri) merasmikan World COPD Day 2022.

"Penyakit ini tidak berlaku serta-merta dan ia mengambil masa bertahun lamanya sebelum menampakkan gejala.

"Terdapat dua jenis penyakit COPD iaitu bronkitis kronik dan emfisema. Bronkitis kronik ialah sejenis batuk yang banyak kahak, manakala emfisema adalah kesukaran untuk bernafas," katanya.

Beliau berkata, penyakit ini tidak boleh sembuh, tetapi boleh dikawal menerusi rawatan penggunaan ubat sedut (inhaler) bagi COPD peringkat awal. Di samping itu, turut ditawarkan rawatan pemulihan pulmonari.

"Bagi COPD peringkat lanjutan iaitu jenis emfisema, kita akan melakukan prosedur 'bronchoscopic lung volume reduction (BLVR)'.

"Dalam prosedur ini, kita memasukkan injap ke dalam salah satu paru-paru. Ia bertujuan mengeluarkan udara supaya bahagian ini akan menguncup dan bahagian paru-paru lain boleh berfungsi," katanya.

Sementara itu, Pakar Perunding Pulmonologi dan Transplan Paru-Paru Dr Leong Swee Wei berkata, pemindahan paru-paru adalah rawatan tambahan yang disediakan untuk pesakit COPD tahap lanjutan.

PENGUNJUNG melakukan pemeriksaan paru-paru.
PENGUNJUNG melakukan pemeriksaan paru-paru.

Namun menurutnya, rawatan ini bukanlah mesti dijalani semua pesakit kategori berkenaan kerana tidak semua pesakit layak menjalani prosedur itu terutama berusia 65 tahun ke atas.

"Rawatan ini adalah pilihan terakhir setelah rawatan lain tidak memberikan kesan positif ke atas pesakit.

"Pesakit yang mempunyai paru-paru tidak berfungsi dengan baik, tiada penyakit major seperti barah, kerosakan buah pinggang dan jantung akan dipertimbangkan untuk menjalani prosedur pemindahan paru-paru," katanya.

Namun, jelasnya, masalah utama untuk memenuhi rawatan itu ialah kekurangan penderma organ paru-paru.

"Di Malaysia, kadar pendermaan organ masih rendah berbanding di negara maju. Kita mempunyai kepakaran mencukupi untuk transplan, tetapi bilangan pendermaan organ masih rendah.

"Matlamat pemindahan organ ini ialah memanjangkan jangka hayat pesakit.

PAKAR pulmonologi memberi penerangan kepada pengunjung mengenai penjagaan paru-paru.
PAKAR pulmonologi memberi penerangan kepada pengunjung mengenai penjagaan paru-paru.

"Statistik di dunia menunjukkan, 50 peratus pesakit COPD yang menjalani prosedur transplan, jangka hayatnya meningkat ke lima tahun dan atas," katanya.

Beliau berkata, mereka yang berasakan ada gejala COPD dinasihati supaya segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan dan penilaian lanjut agar rawatan awal dapat diberikan.

"Jika lewat bertindak, sukar untuk diberikan rawatan bagi menghalang penyakit menjadi lebih teruk.

"Masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil mudah gejala dialami dengan beranggapan ia disebabkan faktor usia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 November 2022 @ 6:30 AM