Rokok, salah satu punca utama yang mengundang penyakit COPD.
Rokok, salah satu punca utama yang mengundang penyakit COPD.
DR Abdul Razak menegaskan merokok punca utama OCPD.
DR Abdul Razak menegaskan merokok punca utama OCPD.
DR Saikiran menjelaskan setiap pesakit perlu menguruskan simptom dialami dengan baik.
DR Saikiran menjelaskan setiap pesakit perlu menguruskan simptom dialami dengan baik.
Hajahfarhana Tarmudi


Sudah acap kali diulang. Bukan sekali tetapi entah berapa banyak kempen kesedaran mengenai bahaya merokok, namun ia bagaikan mencurah air ke daun keladi, langsung tidak memberi kesan.

Bahkan ada yang cuba mengubah tabiat merokok dengan beralih kepada rokok elektronik yang dikatakan mempunyai peratus bahaya kurang berbanding rokok biasa.

Bagaimanapun, ia tetap mendatangkan ketagihan dan lebih penting memudaratkan kesihatan diri sendiri dan orang sekeliling terutama insan terdekat apabila mereka turut menghidu asap yang dihembus keluar.

Sebagai perokok tegar, ada banyak penyakit yang akan menghampiri jika tidak bertindak sekarang untuk berhenti merokok.

Salah satu penyakit yang disebabkan oleh merokok adalah penyakit sekatan pulmonari kronik (COPD). Justeru, sedarlah sekarang dan ubahlah gaya hidup yang lebih sihat secara perlahan-lahan jika anda sayangkan diri serta insan tersayang.

Bahaya COPD

Rokok, salah satu punca utama yang mengundang penyakit COPD iaitu 90 peratus pesakit COPD ialah perokok manakala 10 peratus lagi disebabkan faktor persekitaran seperti pencemaran dan faktor pekerjaan.

Penyakit ini menjadi lebih serius jika simptomnya menunjukkan ciri-ciri seperti sekatan aliran udara secara beransur-ansur dan hiperinflasi paru-paru.

Di Malaysia, COPD menduduki tempat kelima dari segi beban penyakit dan ini dilihat daripada kadar kemasukan hospital akibat serangan COPD.

Lebih membimbangkan apabila kira-kira 500,000 rakyat Malaysia kini menghidap penyakit COPD. Di peringkat global, penyakit ini dialami oleh lebih 64 juta orang dan tiga juta meninggal dunia akibat COPD.

Ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan COPD akan menjadi punca kematian ketiga paling utama di seluruh dunia menjelang 2030.

Disebabkan kelaziman aktiviti merokok tembakau dan pencemaran udara di Asia Pasifik, kejadian COPD juga terus meningkat. Malangnya, kebanyakan kes tidak dapat dikenal pasti kerana sering terkeliru dengan penyakit asma disebabkan simptom serupa.

Menurut Perunding Kanan Pakar Perubatan Dada Profesor Datuk Dr Abdul Razak Abdul Muttalif, COPD ialah masalah kesihatan yang semakin besar di negara ini.

“Bagaimanapun, ia sering disalah diagnosis dan menyebabkan penularan penyakit yang menjejaskan kehidupan pesakit dengan ketara.

“Keadaan ini menghalang mereka daripada melakukan kegiatan biasa seperti berjalan naik dan turun tangga serta melakukan senaman ringan.

“Justeru, pengurusan penyakit secara berkesan menerusi pematuhan lebih baik sangat penting untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit,” katanya.

Ujarnya, simptom paling umum COPD ialah sesak nafas (tercungap-cungap), air liur berlebihan dan mukosa dalam salur pernafasan serta batuk kronik.

Apabila keadaan bertambah kronik, aktiviti biasa seperti makan dan berjalan kaki boleh menimbulkan cabaran, menyebabkan pesakit kehilangan berat badan dan menjadi lebih lemah.

Saluran pernafasan perlahan-lahan menjadi sempit dan akhirnya menimbulkan rasa penat kerana setiap nafas ditarik memerlukan paru-paru bekerja kuat.

Pesakit lazimnya dikenal pasti melalui diagnosis dengan mengesan sejarah pesakit, pemeriksaan fizikal, ujian sinaran-x dan memeriksa fungsi paru-paru.

Penyakit ini tidak boleh disembuhkan tetapi boleh diuruskan dengan kaedah yang sesuai. Walaupun terdapat garis panduan sedia ada, ia tidak menyediakan rangka kerja organisasi bagi menguruskan penyakit.

Kesannya, pelaksanaan rancangan klinikal yang tidak konsisten dan keputusan berbeza bagi setiap pesakit.

Pengurusan COPD lebih baik

Dalam usaha menyediakan kaedah rawatan yang lebih baik dan senang bagi penghidap COPD, GlaxoSmithKline Malaysia melancarkan dwiubat, Anoro Ellipta.

Pengarah Perubatan Negara bagi GSK Malaysia dan Brunei Dr Saikiran Leekha berkata, dwiubat yang diambil sekali sehari itu disyorkan sebagai rawatan bronkodilator penyenggaraan untuk melegakan simptom yang dialami penghidap dewasa penyakit berkenaan.

“Selepas melabur lebih 10 tahun dalam pembangunan dan reka bentuk produk, kami amat bangga untuk memperkenalkan rawatan ini sebagai pilihan lebih baik untuk menguruskan COPD.

“Kemajuan terbaru ini memperkenalkan penjagaan kesihatan pilihan baru untuk dipertimbangkan bagi penghidap COPD. Melalui rawatan baru ini, ia dapat membantu melegakan simptom yang dialami pesakit dengan lebih baik,” katanya.

Ujarnya, rawatan terkini bagi pesakit OCPD itu dicipta menerusi kombinasi antara sejenis antagonis reseptor muskarina tindakan lama (umeclidinium atau UMEC) dan sejenis beta2-agonis adrenergik tindakan lama, vilanterol (VI).

UMEC ialah sejenis bronkodilator dan VI pula mengendurkan otot licin bronkium. Selepas disedut melalui mulut, kedua-dua sebatian bertindak secara setempat pada salur pernafasan untuk menghasilkan bronkodilasi menerusi mekanisme berasingan sekali gus memberikan kelegaan kepada mereka yang menghidap COPD.

Reka bentuk ergonomi dan mudah digunakan juga menyebabkan ia antara rawatan yang boleh membantu mengurus simptom dialami pesakit dengan lebih praktikal.

Info:

Simptom COPD:

• Batuk berterusan

• Batuk berkahak dan berlendir

• Sesak nafas ketika melakukan aktiviti fizikal

• Mereka yang berusia lebih 40 tahun dan mempunyai simptom ini dinasihatkan berjumpa doktor

Diagnosis COPD

• COPD dapat dikenal pasti melalui diagnosis dengan mengenal pasti sejarah pesakit, pemeriksaan jasmani, ujian sinaran X dan memeriksa fungsi paru-paru.

Kesan COPD

• COPD boleh menjejaskan kualiti hidup pesakit kerana gejala seperti batuk berterusan menghalang pesakit daripada menjalankan aktiviti harian.

Kaedah menjaga paru-paru:

1. Berhenti merokok

2. Elak menjadi perokok sekunder

3. Elak persekitaran tercemar

4. Kurangkan penggunaan bahan kimia industri atau domestik

5. Jika bekerja dalam industri berkaitan kimia, pakai topeng penutup muka

6. Amalkan pemakanan seimbang dan gaya hidup sihat

7. Kawal penyakit (jika anda menghidap penyakit berkaitan paru-paru)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2016 @ 11:26 AM