Antara hasil rampasan. FOTO ihsan PDRM
Antara hasil rampasan. FOTO ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Alor Setar: Empat belas premis judi ekor tidak berlesen di sekitar Alor Setar diserbu Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman membabitkan rampasan wang tunai RM11,385, 4 petang tadi.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, serbuan Ops Dadu Keriang itu dijalankan di sekitar daerah Kota Setar bermula jam 4 petang sehingga 5 petang tadi secara serentak di 14 premis terbabit selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu.

Menurutnya, seramai 20 penjaga premis terdiri 13 lelaki dan tujuh wanita berusia 33 hingga 57 tahun ditahan ketika serbuan itu.

"Kita turut merampas wang pertaruhan sebanyak RM11,385 bersama 32 telefon bimbit, mesin pencetak, mesin kira-kira dan peralatan perjudian.

"Premis menjalankan penjualan nombor ekor secara terbuka di bahagian hadapan dan belakang kedai," katanya.

Khairi berkata, hasil kutipan penjualan harian dianggarkan RM15,000 dan kutipan bulanan RM180,000 manakala tahunan RM 2.6 juta.

"Kedai barang runcit, kedai telefon dan restoran atau kedai kopi adalah sasaran penjualan judi ekor tidak berlesen dan ada juga premis ini berhampiran dengan masjid.

"Tangkapan dan barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.Sementara itu Ketua Polis Negara melalui Twitternya turut mengucapkan syabas kepada STAGG atas kejayaan serbuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2016 @ 10:23 PM