Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menyampaikan penghargaannya kepada semua pihak yang bertungkus-lumus sehingga berjaya membebaskan semua 22 anak kapal MT Orkim Harmony yang ditawan lapan perampas.

Perdana Menteri bersyukur dengan pembebasan anak-anak kapal terbabit pagi ini.

"Alhamdulillah, semua 22 kru terbabit dibebaskan dengan selamat pagi ini. Terima kasih kepada semua yang bertugas yang memastikan mereka selamat,” katanya melalui laman Twitter peribadinya sebentar tadi.

Kapal tangki itu bebas dari tawanan perampas selepas lapan suspek melarikan diri ketika dalam pelayaran menuju ke Kepulauan Natuna, Indonesia.

Kesemua 22 kru kapal iaitu 16 warga Malaysia, 5 warga Indonesia dan seorang warga Myanmar dalam keadaan selamat kecuali seorang anak kapal yang cedera terkena tembakan di peha ketika rompakan berlaku pada 11 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2015 @ 3:39 PM