Penyanyi, Dayang Nurfaizah. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Penyanyi, Dayang Nurfaizah. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Penyanyi berkaliber, Dayang Nurfaizah, 41, menyifatkan menjadi juri adalah tanggungjawab yang berat terutama pada zaman sekarang kerana bukan berhadapan dengan peserta saja, tetapi komen daripada netizen juga.

Dayang ditemui berkata, dia mendapati tugas juri itu sangat berat kerana kena menjaga apa yang nak diperkatakan sebabnya bukan kita hanya nak beritahu peserta saja, tapi perlu memberi semangat juga.

"Jadi, sekiranya diberi pilihan saya tak berani menggalas tanggungjawab itu. Sesekali itu bolehlah (sebagai juri), tapi ia tanggungjawab yang sangat besar. Tawaran jadi juri memang ada dan yang pernah saya buat adalah Big Stage, tapi pendekatannya berbeza kerana disertai penyanyi muda.

"Justeru, saya hanya banyak memberi nasihat kepada peserta. Ikut cara saya lah," katanya ditemui pada majlis pelancaran album Belagu II yang memuatkan sembilan lagu berentak asli dan klasik Melayu, di sini, petang tadi.

Dayang yang turut berpengalaman menyertai program One in a Million pada 2006, berkata menyertai pertandingan itu berbeza kerana dia bukan sekadar menyanyi, tetapi dipertontonkan segala bakat. Jadi, cara, persembahan dan perasaannya itu lain.

"Apatah lagi, ketika itu saya pun dah ada album. Memang berat rasanya, sebab boleh atau tidak saya menghadapinya dengan kuat dari segi mental, fizikal dan emosi. Tapi, sebenarnya itu keputusan terbaik yang saya dah buat (sertai One in a Million).

"Banyak yang saya belajar di situ, walaupun berhadapan tekanan kerana dapat mengenali suara saya, kebolehan saya dan apa yang boleh diterokai dengan bakat yang masih hijau pada masa itu," katanya yang mengakui memang ada kala akan terasa hati dengan kritikan juri.

Jelas Dayang, terasa hati itu hadir kerana peserta yang bertanding biasanya rapuh terhadap kritikan juri kerana mereka sudah bekerja keras untuk memberi persembahan terbaik setiap minggu dengan pelbagai persediaan dibuat masing-masing.

"Apapun, dalam setiap kritikan juri itu pastinya ada positif dan negatifnya. Cuma, kita kena tenangkan diri untuk fikirkannya dan ambillah yang positif saja. Percayalah, disebalik kritikan negatif itu pastinya ada yang positifnya kerana teguran itu tanda sayang," katanya.

Mengulas mengenai insiden dihadapi penyanyi Sissy Imann yang dimarahi juri, Mas Idayu pada program Famili Duo, Ahad lalu, Dayang berkata, dia mengharapkan Sissy terus kuatkan semangat dan mengambilnya sebagai asam garam sebagai anak seni.

Difahamkan akibat insiden berkenaan, Sissy didakwa berkurung dalam bilik, mendiamkan diri dan hanya keluar apabila dipanggil untuk makan oleh keluarganya.

Termasuk, meluahkan hasrat menjual album sulungnya yang dirakam di Studio Abbey Road, London pada tahun lalu, dengan harga RM20.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 January 2023 @ 9:25 PM