PEMINAT tidak melepaskan peluang selfie bersama Dayang.
PEMINAT tidak melepaskan peluang selfie bersama Dayang.
DAYANG memberi peluang kepada peminat menyanyi bersama.
DAYANG memberi peluang kepada peminat menyanyi bersama.
PERSEMBAHAN sempena Minggu Setiausaha dapat sambutan menggalakkan.
PERSEMBAHAN sempena Minggu Setiausaha dapat sambutan menggalakkan.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


Mengenakan gaun berwarna merah hati dengan rambut diikat rapi, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak, Dayang Nurfaizah tampil buat julung kalinya menghiburkan peminat sempena Minggu Setiausaha di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

Persembahan selama hampir satu jam berlangsung di sebuah hotel itu menjadi ‘medan’ pertemuan Dayang dengan hampir 300 peminatnya dalam suasana santai, tetapi meriah.

Dayang yang meraih vokal terbaik menerusi lagu berhantunya Di Pintu Syurga di Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) memilih lagu berkenaan sebagai pembuka tirai dan sebaik mengalunkan lagu itu terus menerima tepukan gemuruh peminat.

Ternyata, kemunculan Dayang tepat jam 1.07 petang itu memang dinantikan peminat yang sudah menunggu sejak jam 12 tengah hari lagi.

Sebaik saja melangkah masuk ke dalam dewan untuk memulakan per­sembahan, peminat tidak dapat menahan diri daripada terus bertemu dan merakam gambar penyanyi kesayangan mereka.

Ternyata aura penyanyi yang mempunyai vokal ‘menawan’ ini sangat dekat di hati peminat kerana sepanjang tempoh persembahan, Dayang sentiasa didekati peminat.

Kebanyakan peminat mengambil peluang merakam gambar bersama Dayang menerusi telefon bimbit masing-masing kerana bimbang tidak dapat melakukannya selepas persembahan tamat.

Nyata persembahan Dayang sedikit terganggu ketika berada dalam kalangan peminat yang teruja dapat bertentang mata de­ngan penyanyi kesayangan mereka malah bersama-sama mengalunkan suara.

“Sabar...sabar... nanti selepas ini kita boleh bergambar puas-puas ya... tunggu,” berulang kali kata-kata itu dilontarkan penyanyi berkulit hitam manis itu, namun ‘amaran’ berkenaan langsung tidak dipedulikan peminat.

Dayang meneruskan persembahan dengan dendangan lagu Erti Hidup yang iramanya sedikit berbeza daripada lagu lain, tetapi cukup merdu dan peminat tidak lupa lirik ketika diminta menyanyi bersama.

Penyanyi berusia 34 tahun itu turut mendendangkan lagu Rindu Bayangan nyanyian Carefree sebagai lagu ketiga bersama peminat terpilih sebelum meneruskannya dengan lagu berirama rancak, Dayang Sayang Kamu sambil mengundang peminatnya menyanyi dan menari bersama, sekali gus menjadikan majlis bertambah meriah.

Penyanyi yang cukup sinonim dengan kemantapan vokal tinggi dalam dunia seni tanah air itu tidak lekang dengan senyuman, cukup ramah melayani peminat sehingga pada satu tahap membenarkan peminat memilih beberapa rangkap lagu untuk dinyanyikan secara spontan.

“Dayang mahu anda memilih lagu untuk Dayang sampaikan, tetapi kalau Dayang tidak tahu liriknya, anda yang perlu nyanyikan untuk Dayang,” katanya diiringi sorakan peminat.

Dayang nyata berjaya menambat hati peminatnya dan sentiasa berkomunikasi dengan mereka ketika membuat persembahan.

“Terima kasih kepada peminat yang sanggup datang menyaksikan persembahan Dayang dan Insya-Allah akan datang lagi jika dijemput pada masa akan datang.

“Ketika menerima jemputan untuk majlis ini, saya sangat gembira kerana ini kali pertama saya membuat persembahan meraikan setiausaha di Kuantan atau lebih tepat di pantai timur,” katanya mengakhiri per­sembahan dengan lagu rentak perlahan, Mencintaimu.

Sebelum mengundur diri, ketika ditanya pengacara majlis mengenai perkembangan terbarunya, pelantun lagu Seandainya Masih Ada Cinta itu berkata, dia masih dalam proses mengumpul material baru untuk single yang bakal dilancarkan sebelum akhir tahun ini.

“Apa yang Dayang boleh katakan, Dayang masih lagi di peringkat awal dan nantikan saja kemunculan single terbaru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 1:29 PM