KERETAKAN pada bangunan. FOTO Amrullah Abdul Karim
KERETAKAN pada bangunan. FOTO Amrullah Abdul Karim
Oleh Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung: Sebelas keluarga di Blok K, Pangsapuri Sri Trompet di sini diarah berpindah hari ini susulan keretakan serius di bangunan itu.

Keretakan berlaku di hampir keseluruhan bangunan lima tingkat itu yang mempunyai 80 unit kediaman.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Hulu Selangor, Asisten Superintendan Mohd Taib Songoh berkata, arahan pemindahan dan pengosongan bangunan dikeluarkan Jawatankuasa Bencana Daerah bermula 9 pagi hingga 4 petang hari ini.

"Susulan mesyuarat berkaitan pemindahan malam tadi bersama Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor Mohd Fauzi Mohd Yatim, hari ini 11 keluarga yang menghuni Blok K diarahkan berpindah.

"Pemindahan dilakukan kerana struktur bangunan retak dan tidak selamat didiami," katanya.

Difahamkan keretakan dipercayai berlaku akibat mendapan bawah tanah.

Mohd Taib berkata, semua penghuni dibawa ke Pusat Pemindahan Sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 2 sementara menunggu kajian menyeluruh dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2015 @ 1:52 PM