SET meja makan kayu dengan kerusi besi jadi pilihan.
SET meja makan kayu dengan kerusi besi jadi pilihan.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


IDEA penataan rumah gaya ala 'mid-century' moden mungkin kedengaran agak asing di negara ini.

Namun konsep berkenaan sebenarnya sentiasa malar segar dan mempunyai kelompok penggemarnya tersendiri.

'Mid-century moden' adalah istilah yang digunakan untuk menterjemahkan gaya penataan yang kerap digunakan pada 1945 hingga 1980-an.

Konsep berkenaan menyuntik elemen sederhana yang berintegrasi dengan alam.

Keunikan konsep penatan itu turut menjadi pilihan pasangan, Mariatul Kaftiah Mohamadiah, 34, dan suami, Mohamad Dzulfazli Jais, 34, untuk menghiasi 'syurga keluarga' mereka.

Rumah teres dua tingkat seluas 1,400 kaki persegi yang terletak di Kota Tinggi, Johor itu memiliki empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Mariatul berkata, saiz binaan rumah itu, 20 x 70 sudah cukup selesa untuk didiami bersama sepasang anak berusia lima dan lapan tahun.

Katanya, selepas berpindah masuk, dia dan suami membuat pengubahsuaian serta penambahan secara berperingkat mengikut bajet.

"Kami banyak berbincang dalam menentukan konsep yang sesuai untuk rumah ini dan Alhamdulillah, minat suami juga sama iaitu hiasan ringkas serta praktikal.

"Sebelum ini kami menggunakan konsep dekorasi ala Scandinavia, namun kemudian beralih ke 'mid-century moden' yang lebih 'evergreen' dan memiliki nilai estetika tersendiri," katanya.

Menurut kakitangan kerajaan itu lagi, rumah yang dipanggil Roomah165 itu banyak menggunakan perabot berasaskan kayu dan besi.

Katanya, pemilihan perabot jenis itu menyerlahkan lagi konsep dekorasi yang ingin ditonjolkan.

"Untuk ruang tamu, kami meletakkan kerusi sofa kombinasi kulit dan kayu manakala kabinet televisyen pula daripada kayu dan besi.

"Di ruang makan pula, set meja makan kayu dengan kerusi besi menjadi pilihan dan kawasan itu diserikan lagi dengan hiasan bingkai lukisan, lampu pendant, meja sisi besi serta cermin berlampu.

"Selain itu, untuk memisahkan ruang tamu dan ruang makan, sebuah kerusi rehat kayu diletakkan di tengah-tengahnya," katanya.

Dalam pada itu, Mariatul berkata, rumah berkenaan dibeli mereka pada 2019 dan diduduki kira-kira tiga tahun lalu.

Kata Mariatul, kesan 'mid-century moden'

pada dekorasi rumah boleh diserlahkan dengan menerapkan warna yang hangat dan natural seperti warna kayu.

Selain itu, rona putih, hitam dan hijau gelap juga sesuai dengan konsep dekorasi berkenaan.

Katanya, dia turut menggunakan konsep sama di bilik utama rumah berkenaan.

"Kombinasi cat dinding rona hijau dan perabot kayu menjadikan ruang beradu lebih nyaman.

"Disebabkan ruang yang terhad, bilik ini hanya memiliki katil kayu, meja sisi dan almari sahaja yang semuanya daripada ruma home.

"Untuk bilik tidur anak-anak pula, hanya anak lelaki yang sempat disiapkan ketika ini iaitu konsep biru putih yang ringkas dan praktikal," katanya.

Sementara itu, Mariatul berkata, ruang membasuh baju juga antara kawasan kegemarannya dan berbeza dengan konsep utama rumah itu, ia dihiasi dengan kombinasi rona hitam putih .

Katanya, bagi menambahkan lagi seri, ruang berkenaan juga dihiaskan dengan pokok hidup dan pokok tiruan.

"Selain itu, bilik stor kecil yang terletak di bawah tangga juga tidak dibiarkan kosong sebaliknya dicat dengan rona hitam serta dihiasi dengan 'accent wall' warna keemasan.

"Kombinasi itu memang menyerlah dan menarik, ia juga menjadi titik tumpuan utama di rumah ini," katanya yang turut menukar pintu utama kepada pintu keselamatan dengan elemen kayu dan besi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:00 AM