TAEYANG - FOTO Google
TAEYANG - FOTO Google
HM Digital

PENYANYI Taeyang yang juga anggota BIGBANG semestinya antara paling dinantikan peminat untuk membuat kemunculan semula. Lama juga dia berehat selepas khidmat tentera serta fokus kepada keluarga.

Terbaru, ada ura-ura penyanyi Eyes, Nose, Lips terbabit bakal kembali aktif sebagai artis solo. Ia selepas dia tampil bersama BIGBANG tidak lama dulu muncul dengan lagu Still Life.

Khabar itu tercetus selepas stesen JTBC melaporkan bahawa Taeyang kini dalam persiapan melancarkan album pada Januari tahun hadapan.

Laporan itu berpunca daripada banyak sumber dalam industri hiburan yang menyampaikan berita terbabit.

Namun begitu, agensinya YG Entertainment masih belum mengiyakan kebenaran khabar berkenaan. Dalam kenyataan ringkasnya, agensi itu enggan mendedahkan sebarang butiran lagi.

"Belum ada apa-apa yang diputuskan lagi," kata agensi itu.

Sekiranya benar Taeyang bakal muncul kembali, lagu dilancarkan bakal menjadi karya pertama selepas enam tahun tidak keluarkan sebarang lagu.

Kali terakhir dia aktif membuat kemunculan sebagai artis solo adalah pada 2017. Ketika itu, dia mempertaruhkan album berjudul White Night dan sempat menjalankan siri jelajah termasuk di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Disember 2022 @ 6:48 AM