Amman: Human Rights Watch (HRW) semalam menuduh Jordan membiarkan ratusan pelarian Syria di gurun di sempadan kedua-dua negara selepas menutup pusat menyeberang sempadan tidak rasmi.

Dalam satu kenyataannya, HRW mendakwa pihak berkuasa Jordan menyekat pergerakan pelarian yang menyelamatkan diri daripada perang di Syria sejak Mac lalu.

Menurutnya, analisis terhadap imej satelit menunjukkan sekumpulan besar pelarian yang dibiarkan berada di kawasan padang pasir selepas lintasan sempadan tidak rasmi ditutup.

“Mereka tidak mempunyai akses untuk mendapatkan makanan, minuman dan bantuan perubatan.

“Jordan sepatutnya membenarkan pelarian itu memasuki negaranya dan membiarkan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendaftar mereka sebagai pemohon suaka,” kata kenyataan itu.

Jordan membuka semua laluan dari Syria di sempadan kedua-dua negara sehingga pertengahan 2013.

Bagaimanapun, jumlah laluan dan bilangan pelarian itu dihadkan selepas keadaan semakin tidak terkawal.

Timbalan Pengarah HRW di Asia Barat dan Afrika Utara, Nadim Houry berkata: “Jordan banyak membantu pelarian Syria, tetapi itu bukan alasan untuk membiarkan pelarian yang baru tiba di kawasan sempadan terpencil tanpa memberikan mereka perlindungan dan bantuan.”

Kira-kira 600,000 pelarian Syria berdaftar dengan PBB di Jordan. Negara itu bagaimanapun mendakwa jumlah tidak rasmi mencecah sehingga 1.5 juta orang. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2015 @ 7:38 AM