Oleh Michelle Gun


Suatu ketika dulu, kumpulan rock XPDC pernah menyimpan impian untuk mengadakan konsert yang diiringi pemuzik okestra, namun hasrat itu terpaksa ditangguh.

Selepas 15 tahun, impian kumpulan terbabit akhirnya direalisasikan menerusi Konsert Rockestra XPDC - Aku Masih Di Sini yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Bagaimanapun, peluang itu seolah disia-siakan selepas vokalis, Mael gagal muncul pada persembahan pembukaan yang bermula sekitar jam 9 malam sehingga menjejaskan konsert.

Penyanyi itu hanya muncul di pentas pada jam 10 malam, namun konsert sekali lagi dihentikan seketika selepas persembahan lagu ke-11.

Pemain bass, Eddie yang ditemui selepas persembahan menjelaskan keengganan Mael ke pentas akibat tertekan berikutan abangnya yang menetap di Muar, Johor meninggal dunia, petang sebelum konsert bermula.

“Kehilangan abang kesayangan membuatkan Mael hilang ‘mood’ untuk membuat persembahan dan kami terpaksa memujuk dia naik ke pentas kerana peminat sudah lama menunggu,” katanya.

Mengikut senarai lagu yang diberikan penganjur kepada media, kumpulan itu menjanjikan 27 lagu kepada peminat, namun akhirnya hanya menyampaikan 13 lagu saja.

Jelas Eddie lagi, XPDC tiada masalah menyampaikan lagu yang banyak kerana Mael turut hadir pada sesi latihan.

“Kami tidak pernah menjangka perkara ini akan berlaku dan sekurang-kurangnya dia sudah memberikan yang terbaik walaupun hanya mempersembahkan beberapa lagu,” katanya.

Tindakan vokalis itu bukan saja mengecewakan anggota lain XPDC, tetapi juga penganjur, Dualaris Event dan peminat. Terdahulu, konsert bermula dengan persembahan pembukaan anggota XPDC Izo (gitaris), Lola (dram) dan Eddie (bass) diiringi pemuzik okestra. Namun, kehadiran penyanyi tidak dikenali untuk persembahan seterusnya mengundang kemarahan peminat.

Hanya selepas 30 minit kemudian, Mael muncul dan meminta maaf kepada peminat di atas kelewatannya dengan alasan berlaku kesulitan di belakang pentas. Tanpa menunggu lama, XPDC menyampaikan lagu Kita Peng Yu diikuti Puing Cinta dan medley Penyakit Gatal dan Jangan Tak Mandi.

Konsert terus meriah dengan persembahan Aku Masih Di Sini, Hijau Bumi Tuhan, Raja Kertas, Nafisa, Hairan Bin Ajaib dan Hidup Bersama. Lebih mengujakan, XPDC turut mempamerkan bakat mereka dengan medley instrumen lagu kumpulan heavy metal popular Metallica, Enter Sandman, Seek and Destroy dan Master of Puppets.

Namun, masalah sekali lagi tercetus sebaik persembahan itu selesai apabila konsert dihentikan selama hampir 30 minit. Kejadian itu membuatkan peminat sekali lagi tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya. Bagaimanapun, peminat tetap setia menunggu kemunculan Mael dan anggota lain XPDC di pentas.

Jam menunjukkan hampir tengah malam dan akhirnya kumpulan itu kembali ke pentas dan mendendangkan medley Aku Dah Sesuatu, Hentikan Ini dan Titian Perjalanan diikuti lagu terakhir Apa Nak Dikata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 8:06 AM