ZAHNITA dan Maya (empat dari kanan) bersama Norliza (dua dari kanan).
ZAHNITA dan Maya (empat dari kanan) bersama Norliza (dua dari kanan).
Oleh Norhadiani Baharom


Biarpun pertuturan dalam bahasa Melayunya kede­ngaran canggung, siapa sangka dalam diri susuk model terkenal Zahnita Wilson, 30, ini sarat jati kemelayuan.

Atas dasar ingin mengenal budaya ibunya, Janeiyah Ghazali, wanita berdarah kacukan yang dilahirkan di Brisbane, Australia ini mengambil langkah berani mencabar dirinya beraksi di dalam program Festival Tari Malaysia (FESTARI) yang akan berlangsung di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mulai esok hingga Sabtu ini.

Zahnita yang pernah membintangi filem Gila Gila Pengantin Remaja dan Kuliah Cinta ini akan beraksi pada malam penutup iaitu Sabtu ini bersama empat lagi artis iaitu Vanidah Imran, Adeline Tsen, Shiha Zikir dan Maya Matahari.

Apa yang menarik, ketika penganjur Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memberi pilihan sama ada tarian fusion atau tradisional untuk segmen persembahan solo, Zahnita memilih tarian asyik.

“Saya suka lemah gemalai tarian asyik kerana itu saya mahu mencubanya. Konsep tarian fusion yang menggabungkan elemen tradisional dan moden, bagi saya tidak 100 peratus asli. Lagipun saya sudah biasa menari untuk lagu moden walaupun bukan untuk tujuan persembahan, ia sekadar suka-suka.

“Justeru saya melihat tarian tradisional ini sangat mencabar untuk saya lakukan. Namun, kerana saya seorang yang gemarkan cabaran, saya mencabar diri dengan menyambut lamaran JKKN,” katanya.

Dalam pada itu, Maya yang terkenal dengan lagu Matahari pula tidak kisah diberikan apapun tugasan tarian lebih-lebih lagi zapin yang sinonim dengan negeri kelahirannya, Johor.

“Cabang seni skopnya sangat meluas bukan sekadar lakonan dan muzik saja. Sebagai anak seni, pembabitan saya di dalam FESTARI ini sebagai tanda dedikasi dan kecintaan pada industri seni tanah air,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JKKN Datuk Norliza Rofli berkata, pemilihan lima artis itu adalah atas dasar sukarela kerana mereka minat menari dan melihat budaya warisan bangsa itu sesuatu yang penting.

“Saban tahun JKKN sentiasa mencari kelainan untuk memantapkan lagi pe­ngisian acara dan tahun ini atas cadangan rakan-rakan yang selalu menyokong kami, JKKN membuka ruangan untuk golongan artis mencuba,” katanya.

Dalam FESTARI kali ini, sebanyak lapan kumpulan akan beraksi apabila empat daripadanya mewakili Kategori Tarian Rampaian Tradisional manakala empat lagi mewakili Kategori Tarian Tradisional Daerah.

Pertandingan akhir akan diadakan di Auditorium DBKL, Sabtu ini jam 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 12:13 PM