TAMPIL tarian tradisional yang jarang dapat disaksikan.
TAMPIL tarian tradisional yang jarang dapat disaksikan.

Semakin ramai generasi baru memandang sepi seni budaya tradisional dan lebih cenderung mengagungkan budaya Barat.

Justeru itu pujian wajar dikalungkan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang berusaha memelihara seni warisan negara sama ada teater mahupun tarian tradisional agar tidak tenggelam dek arus pembangunan.

Menerusi agenda seni yang disusun sepanjang tahun, pencinta seni budaya serta generasi baru berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan tradisional menarik yang berlangsung di Auditorium Kompleks JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur.

Antara yang mendapat sambutan adalah dondang sayang, ghazal parti, tarian klasik India dan makyung mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat.

Menutup tirai siri Panggung Seni Tradisional edisi ketiga ini, JKKN akan menampilkan persembahan Koleksi Tari Klasik Malaysia 2015 yang akan berlangsung malam ini dan esok di lokasi sama pada jam 8.30 malam.

Pengarah Unit Komunikasi Korporat JKKN, Ezlina Alias berkata, persembahan itu menggabungkan pelbagai genre tari klasik Malaysia.

“Secara keseluruhan, persembahan ini berkonsepkan klasik. Bukan saja tarian bahkan kita turut penekanan pada busana, tatarias dan peralatan yang mana semuanya tampak klasik.

“Pesembahan ini merangkumi semua tarian lama yang berusia lebih 25 tahun termasuk tarian istana.

“Persembahan berdurasi 1 jam 30 minit ini menampilkan 17 genre tari iaitu Asli Songket, Inang Ghenek, Zapin Seri Bunian, Terinai Ketam Bawa Anak, Canggung, Tarian Igal, Datun Julud, Jong Jong Inai, Inang Kayangan, Wau Bulan dan Tudung Saji.

“Turut dipersembahkan tarian kipas yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Cina dan tari klasik India, Margam Pushpa Anjali,” katanya.

Menurut Ezlina lagi, perancangan yang dibuat JKKN ternyata menjadi apabila program terbabit berjaya menarik perhatian pengunjung tempatan serta pelancong asing.

“Menerusi program ini kami dapat dedahkan masyarakat dengan tarian tradisional yang jarang dapat disaksikan di mana-mana.

“Ia turut menjadi tumpuan pelancong asing yang gemarkan kelainan dan berminat mendalami seni budaya Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:00 AM