Ben tidak kekok menari tradisional walau bergelar siswa kejuruteraan.
Ben tidak kekok menari tradisional walau bergelar siswa kejuruteraan.
Melihat anak muda ini pasti tidak ramai menyangka kebolehan Ben dalam seni tarian tradisional.
Melihat anak muda ini pasti tidak ramai menyangka kebolehan Ben dalam seni tarian tradisional.

Sekali pandang, dia dilihat sama saja seperti pelajar jurusan kejuruteraan yang lain. Namun pemilik nama Mohammad Benfadzlyn Mohammad Benjamin atau lebih mesra dipanggil Ben memiliki bakat terpendam.

Berbeza dengan bidang pelajarannya yang berteraskan sains mekanikal dan industri, Ben sebenarnya berbakat dalam seni tarian tradisional.

Anak muda berusia 23 tahun bergelar pelajar Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan Mekanikal ini mula meminati tarian tradisional sejak sekolah menengah kira kira pada 2008.

“Sebenarnya datuk dan ibu saya pernah bergiat aktif dalam dunia tarian tradisional bagaimanapun saya tidak begitu memberi perhatian dan hanya melihat saja.

“Namun ketika di tingkatan empat dan ada pengambilan pelajar yang ingin menyertai dalam tarian, saya rasakan mengapa tidak mencuba selepas melihat sendiri sejak kecil.

“Saya lebih meminati tarian tradisional kerana bagi saya secara tidak langsung saya boleh memahami dan mempelajari kebudayaan dan keunikan pelbagai suku kaum di negara ini.

“Selepas belajar beberapa langkah asas dan berlatih mengikut rentak, saya meyakinkan diri untuk terus memasuki pertandingan tarian bagi mendapatkan pengalaman,” katanya yang sering menari di peringkat negeri dan kebangsaan.

Antara festival besar pernah disertainya adalah mewakili kumpulan Rentak, Selangor dalam Festival Tari Kebangsaan (FESTARI) 2014 dan anak muda ini juga bakal mewakili Malaysia ke Hungary untuk Festival 20th Royal days International Folk Dance dengan kumpulan Prisma Seni UiTM Shah Alam bulan Ogos nanti.

Menurut anak muda kelahiran Kuching, Sarawak ini, selain tarian tradisional, dia juga minat tarian lain seperti tarian moden, kotemporari, K-pop dan sebagainya.

Minatnya dibawa hingga ke hari ini walaupun bergelar siswa bidang kejuruteraan yang jauh bezanya dengan bidang tarian.

“Di kampus, rakan pada mulanya terkejut dan tidak sangka saya berkecimpung serta mahir tarian kerana bidang akademik pelajari tidak ada kaitan langsung dengannya.

“Mungkin ramai melihat ia dua dunia yang sangat berlawanan namun ia sebenarnya bukanlah perkara yang mustahil kerana ramai individu dari bidang sains, teknikal mahupun profesional yang berjaya dalam dunia seni persembahan.

“Pada saya, mungkin ramai anak muda yang meng­klasifikasikan tarian tradisional sebagai tarian yang lemah gemalai semata-mata hanya bertujuan sebagai tontonan umum saja namun bagi saya ia lebih dari itu dan inisiatif untuk lebih mengetahui keunikan seni tradisional serta mengekalkan warisan seni budaya di negara kita,” katanya

Seperti pelajar lain yang sibuk dengan tugasan akademik, Ben mengakui sememangnya sukar untuk membahagikan masa antara waktu belajar dan latihan tarian.

“Sedia maklum, bidang pengajian saya amat memerlukan komitmen tinggi dan fokus untuk menyiapkan segala kerja kursus dan mengulangi pelajaran untuk kuiz dan ujian.

“Namun, sesi latihan tarian adalah pada waktu malam, saya akan meluangkan masa berlatih tarian sehing­ga lewat malam dan akan meneruskan segala kerja pembelajaran saya selepas sesi latihan.

“Tapi secara peribadi bagi saya, ia tidaklah membebankan kerana ini sudah menjadi rutin dan minat saya,” katanya yang sering mencuri masa melakukan hobinya dalam aktiviti sukan seperti larian, badminton, mendaki dan terkini sukan kasut roda.

Walaupun bakal sibuk bergelar seorang jurutera, anak muda ini ingin tetap komited dalam minat seni tarinya.

“Saya pasti tidak akan berhenti dan membabitkan diri dalam seni tarian pada masa hadapan sebagai aktiviti sampingan serta me­nyokong dan membantu anak muda nanti dalam bidang tari tradisional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 10:10 AM