Oleh Mohd Afzanizam Abdul Rashid

Rancangan Malaysia Ke-Sepuluh (RMK10) bakal melabuhkan tirainya pada akhir tahun 2015.

Sesungguhnya, keadaan ekonomi negara sememangnya tidak sunyi daripada keadaan sentiasa berubah-ubah hasil interaksi antara permintaan luar dan dalam negeri.

Di samping itu, usaha bagi memantapkan kedudukan asas ekonomi diteruskan melalui dasar yang diperkenalkan. Sedikit imbasan bagi tempoh empat tahun kebelakangan ini mungkin dapat membantu kita menilai tentang tahap pencapaian ekonomi negara.

Purata pertumbuhan ekonomi sepanjang 2011 hingga 2014 sebanyak 5.4 peratus. Walaupun rendah daripada jangkaan asal iaitu enam peratus, prestasi ini masih lagi selari dengan pertumbuhan potensi negara iaitu sekitar 5 hingga 5.5 peratus.

Selain itu, 1.5 juta pekerjaan diwujudkan dalam tempoh ini dan kadar pengangguran kekal stabil sekitar 3.2 peratus setakat Februari 2015.

Peranan sektor swasta juga dilihat lebih aktif terutama dari segi pelaburan swasta apabila sumbangannya kepada ekonomi negara meningkat 16.6 peratus pada tahun lalu berbanding 12.8 peratus pada tahun 2011.

Dari sudut perbelanjaan pembangunan pula, RM223.6 billion dibelanjakan dalam tempoh lima tahun ini. Angka ini mengambil kira perbelanjaan pembangunan tahun 2015 yang diwartakan di dalam bajet tahun ini. Justeru, perbelanjaan pembangunan ini di dapati kurang daripada sasaran awal iaitu RM230 billion.

Perkembangan ini sedikit sebanyak membantu dalam usaha kerajaan mengurangkan defisit fiskal yang berkurangan daripada 4.7 peratus daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dicatatkan pada tahun 2011 kepada 3.4 peratus pada tahun lalu.

Perangkaan sektor pengangkutan terutama pengangkutan awam mungkin dapat memberi gambaran lebih jelas terhadap keberkesanan agenda pembangunan negara.

Sebagai contoh, pengangkutan keretapi komuter yang pembinaan stesen baru seperti di Sungai Gadut, Rembau dan Ipoh dalam tempoh RMK10 menyebabkan kenaikan ketara di dalam jumlah penumpang.

Antara 2011 sehingga 2012, jumlah penumpang dicatatkan sekitar 35 juta setahun. Namun, jumlah penumpang melonjak kepada 45 juta setahun pada 2013 dan 2014.

Perkhidmatan rel Transit Aliran Ringan (LRT) juga mencatatkan statisitk memberangsangkan. Purata penumpang menaiki Putra LRT pada 2011 dan 2012 adalah 70 juta setahun dan angka ini meningkat kepada 80 juta setahun pada 2013 dan 2014.

Star LRT juga mencatatkan kenaikan apabila purata penumpang meningkat daripada 55 juta setahun kepada 62 juta setahun dalam tempoh sama.

Perangkaan ini jelas menyokong agenda pembangunan negara memberi manfaat besar kepada penduduk di negara ini. Bagi merencana pembangunan di dalam RMK11, harapan realistik perlu diterapkan berikutan cabaran ekonomi luaran yang sememangnya akan memberi kesan langsung terhadap pelan pembangunan.

Sebagai contoh, pada RMK9 (2006 – 2010), negara menghadapi cabaran kemelesatan ekonomi dunia pada 2009 disebabkan Krisis Sub Prima di Amerika Syarikat (AS).

Situasi ini memaksa pihak kerajaan melaksanakan dua pakej rangsangan ekonomi pada 2008 dan 2009 bagi menyokong pertumbuhan negara.

Berkemungkinan perkara sama juga boleh berlaku dalam tempoh 2016 sehingga 2020. Umum mengetahui pihak Rizab Persekutuan AS masih lagi memikirkan masa sesuai untuk menaikkan kadar faedah.

Manakala negara China pula berhadapan suasana pertumbuhan lebih sederhana dan mencabar. Ditambah situasi kewangan kerajaan Greece yang dilihat mampu memberi kesan kemeruapan yang tinggi didalam pasaran kewangan antarabangsa.

Oleh demikian, risiko bagi berlaku kemelesetan ekonomi diperingkat global sememangnya sentiasa ada.

Meskipun begitu, pihak kerajaan dilihat berupaya meningkatkan peruntukan perbelanjaan pembangunan di dalam RMK11.

Jangkaan kenaikan dalam hasil kerajaan disumbangkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta penghapusan subsidi minyak seharusnya memberi ruang kepada kerajaan untuk disalurkan semula bagi tujuan pembangunan.

Projek rel seperti MRT 2, LRT 3 dan High Speed Rail (HSR) dijangka mendapat perhatian khusus memandangkan sambutan baik daripada penduduk Malaysia.

Oleh itu, sektor pembinaan dijangka mendapat kesan langsung yang positif melalui perlaksanaan projek infrastruktur yang berdaya maju. Kesan limpahan juga akan dinikmati sektor lain seperti pembuatan bahan binaan, perkhidmatan kejuteraan dan kewangan.

Antara harapan yang ingin disampaikan penulis adalah supaya kerajaan sentiasa mencari jalan untuk melaksanakan program pembangunan memberi pulangan yang tinggi dari sudut sosial dan pada masa yang sama mengoptimumkan sumber-sumber yang sedia ada.

Dalam perkara ini, pembangunan aset Waqaf dilihat sebagai ‘kawasan pertumbuhan’ yang mana usaha bagi memajukannya mempunyai ruang yang masih luas.

Berdasarkan perangkaan disediakan Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR), hanya 0.21 peratus daripada 11,091.82 hektar tanah Waqaf dibangunkan. Berdasarkan perangkaan ini, pihak kerajaan boleh menaikkan lagi peruntukan bagi pembangunan Waqaf.

Penulis Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2015 @ 6:35 AM