MUHAMAD Nizam (tengah) menyampaikan hadiah kepada pasukan KLC.
MUHAMAD Nizam (tengah) menyampaikan hadiah kepada pasukan KLC.
Oleh Fauzi Rahim Mustafa


Sungai Petani: Kombinasi Shaharul Hisham Abd Hamid, Mohd Nor Abdul, Abdul Halim Jaafar dan Rezal Ahmad menjuarai Kejohanan Tertutup Ten Pin Bowling Kelab Pemilik Nissan Grand Livina (PNGL) di Sejati Superbowl Park Avenue, Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.

Mereka yang mewakili pasukan Koperasi Pemilik Livina Kedah (KLC) Berhad mengatasi 24 pesaing lain dalam kategori lelaki selepas mengumpul 1,823 jatuhan pin.

Pasukan G4L, 1,811 pin pula muncul naib johan manakala Panther Livinian ketiga 1,807 pin.

Bagi kategori wanita, pasukan Kelab Pemilik Grand Livina Cheras muncul juara dengan 1,485 pin mengetepikan naib juara, Semenyih Livinian (1,393) dan ketiga Real Sahabat Livinian (1,312).

Kejohanan kali kedua anjuran KLC Berhad itu bertujuan memperkenal koperasi yang baru ditubuhkan bulan lalu kepada lebih 4,000 ahli selain menghimpunkan mereka dan keluarga.

Pengerusi KLC Berhad Muhamad Nizam Eusope berkata, pihaknya mengambil inisiatif mengadakan kejohanan itu sebagai medan mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli dan keluarga.

“Kejohanan ini medium maklumat untuk ahli dan keluarga mengetahui kewujudan koperasi seterusnya bertindak menganggotainya agar memperoleh manfaat ditawarkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 12:10 PM