HAMDAN bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah pertandingan bowling di Megalanes, Kuantan.
HAMDAN bergambar bersama pemenang selepas menyampaikan hadiah pertandingan bowling di Megalanes, Kuantan.
Oleh Shahrul Nizam Mohamad

Kuantan: Skuad bowling Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) mempamer aksi memuaskan apabila mudah menewaskan 13 agensi kerajaan lain pada pertandingan santai bowling Sempena Hari Sukan Negara anjuran Kesuma Kota Sdn Bhd dengan kerjasama Koperasi Yayasan Ekonomi Melayu Berhad (KOYEMB) di Megalanes, Kuantan, baru-baru ini.

Antara agensi kerajaan yang menyertainya adalah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Pejabat Menteri Besar, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Suruhanjaya Komunikasi Malaysia (SKM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan tiga wakil media.

Pada pertandingan tiga permainan itu, PKNP yang dianggotai tiga kakitangan mencatat 1,466 jatuhan pin diikuti IPK Pahang (1,413) jatuhan pin dan JPNP (1,370) jatuhan pin.

Kategori individu lelaki dimenangi Amiruddin Mohamed, 37, dari JPS yang mencatat 567 jatuhan pin manakala individu wanita dimenangi Rashmaniza Mustafa, 44, dari PKNP dengan 562 jatuhan pin.

Pengurus KOYEMB Dr Khalid Abdul Rahim berkata, seramai 38 peserta mengambil bahagian untuk merebut hadiah yang ditawarkan dan pertandingan itu dapat merapatkan hubungan silaturahim antara pemain.

“Pertandingan ini bukan saja menawarkan hadiah kepada pemain yang bergelar juara malah semua peserta layak memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu hamper,” katanya.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kesuma, Azhar Mohd Zain dan Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar Pahang, Datuk Hamdan Husin yang menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Oktober 2015 @ 5:10 AM