Oleh Shamsul Munir Safini

Bukit Mertajam: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini atas 19 pertuduhan kesalahan trafik sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang dibacakan di hadapan Majistret Dianne Niangrad Nor Azhar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan hadir bersama bapanya dibenarkan diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 15 Jun ini sebagai tarikh keputusan kes serta tarikh mendengar laporan akhlak tertuduh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Tertuduh hadir ke mahkamah dengan memakai baju kemeja kotak dan berseluar jeans dan pertuduhan dibuat Timbalan Pendakwa Raya Kamaliza Md Zain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 4:07 PM