PRODUK kreatif yang dihasilkan usahawan OKU.
PRODUK kreatif yang dihasilkan usahawan OKU.
PERKONGSIAN ilmu dalam suasana mesra dan menyeronokkan.
PERKONGSIAN ilmu dalam suasana mesra dan menyeronokkan.
‘GRADUAN’ program R.I.S.E bersama sijil penghargaan masing-masing.
‘GRADUAN’ program R.I.S.E bersama sijil penghargaan masing-masing.
Oleh Norlaila Hamima Jamaluddin


Selama mana mahu merataap kekura­ngan diri? Ya, ini antara persoalan yang sering mengetuk fikiran setiap insan yang dilahirkan dengan kekurangan dari segi fungsi fizikal. Kekurangan diri inilah mengehadkan kemampuan bekerja individu kurang upaya (OKU) yang secara tidak langsung turut menjejaskan keyakinan diri mereka.

Namun jika dilihat dengan lebih dekat, golongan OKU ini bukan tidak mahu berusaha, tetapi kurang pengetahuan dan pendedahan untuk memajukan diri. Bukan simpati yang dipinta, sebaliknya peluang menimba ilmu supaya mereka dapat lebih berdikari dan memperbaiki kehidupan, sekurang-kurangnya untuk diri sendiri.

Inilah yang dinantikan lebih 280 peserta OKU yang terpilih menyertai latihan keusahawanan dikenali sebagai R.I.S.E. (Reach, Independence & Sustainable Entrepreneurship) di bawah program Maybank-Mentor Komuniti Kurang Upaya.

Oleh kerana tempat terhad maka peserta latihan dipilih daripada ahli persatuan dan kumpulan orang kelainan upaya yang berdaftar di Lembah Klang oleh panel pemilihan iaitu Yayasan Maybank dan syarikat perunding swasta, People Systems Consultancy.

Walaupun baru memasuki fasa pertama sejak dimulakan pada September 2014, tetapi program yang dijalankan dengan kerjasama People Systems Consultancy itu sudah melahirkan 10 peserta yang layak memohon pinjaman kewangan komersial dan Islam dari Maybank.

Untuk melayakkan mereka memohon pinjaman kewangan, peserta perlulah menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam perniagaan dan pendapatan. Perkembangan memberangsangkan inilah yang ditunjukkan oleh peserta, hanya dalam tempoh tiga bulan selepas program latihan.

Bagi meraikan dan merangsang semangat mereka, Yayasan Maybank berbesar hati memberikan trofi dan sijil penghargaan dalam majlis penyerahan Anugerah Prestasi Konsisten yang dianjurkan di Institut Sosial Malaysia, baru-baru ini.

Seramai lapan peserta wakil daripada setiap kumpulan menerima sijil tamat latihan masing-masing dan anugerah disampaikan oleh Pengerusi Maybank, Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor. Turut hadir Pe­ngarah Eksekutif People Systems Consultancy Raymond Gabriel, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Maybank, Shahril Azuar Jimin dan Ketua Perbankan Mass, Ahmad Shareza Abdul Rahman.

Menurut Shahril, ia adalah program yang julung kalinya diperkenalkan oleh sebuah institusi perbankan di negara ini.

“Program Maybank-Mentor Komuniti Kurang Upaya ini adalah satu program yang selari dengan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dan memberi kesan mendalam terhadap komuniti di mana kami beroperasi.

“Kami berasa terpanggil untuk melakukan satu program yang bermakna dan mampan serta dapat diteruskan kesinambungannya bagi memberi impak kepada lebih ramai insan yang memerlukan. Bak kata pepatah, kami tidak menghulur ikan, sebaliknya memberi pancing untuk mereka mencari rezeki.

“Kami amat berpuas hati dengan maklum balas dan komitmen peserta. Dalam fasa pertama ini kami menyaksikan testimoni yang menaikkan semangat kami untuk membawa program ini ke satu tahap yang lebih tinggi. Kami juga yakin, pengalaman yang dilalui peserta ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai insan lain,” katanya.

Semangat baru

Rahinor Nordin, 35, pengusaha kuih simpul kasih yang sebelum ini hanya mampu meraih pendapatan RM50 sebulan dengan menjual makanan ringan, kini menikmati keuntu­ngan yang meningkat sehingga 253 peratus setiap bulan.

Usahawan kecil dari Wangsa Maju itu mendapat idea perniagaan yang baru dengan mengusahakan kuih simpul kasih pelbagai perisa selepas mendapat latihan di Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Kebangsaan Malaysia (MAKPEM) tajaan Yayasan Maybank.

“Saya mendapat semangat baru selepas menyertai kursus apabila diberi tunjuk ajar bukan hanya mengenai produk yang dijual, tetapi turut merangkumi perkara lain seperti kaedah pemasaran, membuat buku kira-kira hinggalah membina keyakinan diri.

“Kini rasa rendah diri dan malu untuk berdepan dengan masyarakat dek kekurangan diri sudah mula terhakis. Kini saya sedar, setiap orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Saya tidak mahu lagi memikirkan kekurangan diri, sebaliknya belajar untuk fokus kepada kelebihan yang selama ini tidak saya sedari.

“Saya kini lebih yakin dan mahu sentiasa maju ke hadapan. Pendapatan saya juga semakin bertambah selepas menjual kuih simpul kasih pelbagai perisa,” katanya yang berkerusi roda.

Rakan seperjuangan, Rohani Jaafar, 50, tersenyum apabila diminta berkongsi pengalaman manisnya dalam kerjayanya sebagai tukang jahit kerana hasil jahitannya pernah diperagakan oleh artis tersohor tanah air, Datuk Siti Nurhaliza dan Lisa Surihani. Ia satu pencapaian besar untuk tukang jahit tidak ternama sepertinya.

Bahkan tukang jahit berpengalaman yang berkerusi roda itu mengakui kesudian dua artis terkenal itu menyarungkan baju yang dijahitnya turut menyemarakkan semangatnya dan lebih menggembirakan kini pendapatannya meningkat 400 peratus selepas menyertai kursus R.I.S.E.

“Sebelum menyertai kursus, saya kurang berkeyakinan apatah lagi melihat hasil kerja tukang jahit lain yang normal. Namun selepas mendapat tunjuk ajar daripada pelatih, saya mula yakin untuk mendekati pelanggan. Kini saya bukan hanya menerima tempahan tetapi sudah mula menjual pakaian siap di kedai saya.” katanya gembira.

Mereka berdua adalah antara peserta yang menunjukkan prestasi baik dalam perniagaan masing-masing sehingga layak mendapat pinjaman pembiayaan mikro daripada Maybank. Antara usahawan OKU yang turut mendapat penghargaan dalam majlis berkenaan ialah Shaik Hashim Shaik Mahmud, Yamin Yahya, Mahaiyana Mohd Yunus, Hajah Hapid­zah Mahir, Umi Kalsom Saonel, Suminah Katang, Siti Hadijah Jafar dan Siti Hajar Tumin.

R.I.S.E adalah inisiatif Yayasan Maybank untuk mengembangkan perniagaan usahawan OKU melalui program mentor berstruktur. Program ini membabitkan latihan keusahawanan dan kewangan selama tiga hari diikuti pemantauan mentor dalam tempoh tiga hingga enam bulan. Peserta program dipilih daripada lebih 30 badan atau persatuan OKU yang mempunyai minat dalam dunia perniagaan.

Apa yang menggembirakan ialah melalui program itu, usahawan OKU berjaya meningkatkan pendapatan masing-masing menggunakan kemampuan dan modal sendiri, tanpa pinjaman. Antara bidang yang diceburi ialah perniagaan berasaskan makanan, jahitan, teknologi maklumat, seni dan kraftangan, perdagangan dan kedai runcit.

Menerusi skim pembiayaan mikro itu, seramai 28 ‘graduan’ R.I.S.E kini layak membuat pinjaman

sehingga RM10,000 untuk mengembangkan perniagaan dan meningkatkan pendapatan mereka. Malah mereka yang dulunya dianggap kurang berkemampuan kini boleh tersenyum kerana sudah mampu memberi sumbangan kepada keluarga dan masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 12:24 PM