FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


PERSATUAN Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), menggalakkan pelanggan untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada institusi perbankan Islam masing-masing mengenai perubahan terma dan pelaksanaan proses moratorium.

Ini susulan pengumuman dikeluarkan Bank Negara Malaysia hari ini untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan kontrak Syariah dalam pelaksanaan moratorium terhadap produk pembiayaan yang terkesan terus diperhebatkan iaitu produk sewa beli patuh syariah dan pembiayaan berkadar tetap patuh syariah.

AIBIM dalam kenyataan dikeluarkan berkata, institusi perbankan Islam akan menghubungi pelanggan mereka secara langsung untuk memaklumkan beberapa perkara utama.

"Ia meliputi perincian khusus berkenaan perubahan pada produk yang mungkin membabitkan semakan semula bayaran ansuran, jumlah yang harus dibayar selepas moratorium enam bulan berakhir, dan semakan semula tempoh pembiayaan.

"Sehubungan itu, institusi perbankan Islam berazam untuk meminimakan kesulitan yang mungkin akan dihadapi oleh pelanggan dalam melaksanakan usaha ini.

"Pelanggan juga digalakkan untuk merujuk laman sesawang bank atau menghubungi pusat khidmat pelanggan untuk maklumat lanjut.

"Kami juga ingin menasihati pelanggan agar sentiasa berwaspada terhadap penipuan perbankan dalam talian terutamanya sewaktu tempoh kritikal ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 April 2020 @ 10:01 PM