Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta semua pihak menerima kejayaan LionsXII menjulang Piala FA dengan hati terbuka walaupun trofi menyeberang tambak ke Singapura buat kali pertama sejak mula dipertandingkan pada 1990.

Setiausaha Agung Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, saingan bola sepak adalah profesional dan sebarang keputusan perlu diterima.

“Sebarang pasukan boleh memenangi Piala FA. Ia adalah saingan profesional. Kadang-kadang terdapat pasukan yang bertuah sehingga ke final. Ia bukan salah sesiapa namun adat bertanding.

“Kita tidak boleh terlalu sensitif dan melihat perkara ini secara baik. Ia bukan salah sesiapa,” katanya.

Kegagalan Kelantan menewaskan kelab jemputan dari Singapura LionsXII di final malam kelmarin bermakna ia adalah kejayaan kedua mereka selepas menjulang kejuaraan Liga Super pada 2013.

FAM dan Persatuan Bolasepak Singapura (FAS) sebelum ini melakukan pertukaran pasukan selama empat tahun dengan Harimau Muda beraksi di Liga Singapura.

“Perjanjian itu akan tamat tahun ini. Perbincangan kedua-dua pihak akan diadakan bulan depan sama ada mahu terus kekal atau sebaliknya. Mungkin ada perubahan peraturan,” tambahnya.

Hamidin turut mengesahkan sejumlah 165 keping tiket palsu berjaya dirampas dengan mempunyai nombor siri yang sama dijual sebelum perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya membeli tiket menerusi saluran yang sudah ditetapkan. Jangan membeli daripada pihak tidak berkenaan. Selebihnya saya rasakan perlawanan berlangsung dengan lancar dengan pujian wajar diberikan kepada pihak polis, FAM dan pihak stadium. Namun lebih penting penyokong Kelantan yang mendominasi keseluruhan stadium amat matang apabila tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 8:26 AM