BUSANA tradisional tonjolkan keanggunan si pemakai.
BUSANA tradisional tonjolkan keanggunan si pemakai.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Apabila memperkatakan mengenai busana tradisi nenek moyang, pasti tergambar keindahan dan kesantunan pemakaian baju kurung dan kebaya apatah lagi apabila dipadankan dengan fabrik seperti kapas dan sutera yang pasti menambah keaslian busana berkenaan.

Sungguhpun dengan kemunculan pelbagai fesyen dan trend terkini, busana tradisional ini tetap menyerlahkan keanggunan si pemakai dek potongannya yang menggambarkan kesopanan gadis Melayu sejak zaman dulu.

Menjunjung konsep warisan tradisi inilah, jenama butik Bahari Asyek lebih menumpukan kepada fabrik yang menjurus kepada bahan dan corak lama dan seiring dengan itu, fabrik berkonsep warisan ini direka cipta menjadi potongan busana yang berteraskan ciri warisan yang pernah diguna pakai oleh generasi terdahulu.

Selain mengekalkan beberapa potongan tradisional, Bahari Asyek melalui jenama busana butiknya melakukan sedikit inovasi dengan membuat sedikit pengubahsuaian bagi menyesuaikan dengan keadaan semasa, namun masih tidak lari daripada ciri tradisional warisan nenek moyang.

Selain itu, butik terbabit meneruskan kesinambungan butik pertamanya yang menawarkan pelbagai pilihan pakaian tradisional berasaskan benang kapas dan sutera yang diimport khas dari luar negara.

Pemiliknya, Zahalina Ab Rahman berkata, busana yang mendapat sentuhannya adalah daripada fabrik di bawah labelnya sendiri menjadikan semua koleksinya berbeza dengan butik lain.

“Kebanyakan fabrik yang kami bawa masuk dibuat dan ditempah me–ngikut corak, warna dan rekaannya berdasarkan cita rasa saya sendiri. Begitu juga potongan busananya yang direka dan dihasilkan sendiri mengikut cita rasa dan konsep yang kami perjuangkan.

“Inilah perbezaannya, hasilnya peminat dan pelanggan dapat melihat dan menilai sendiri melalui sambutan yang diberi,” katanya.

Justeru, menjelang Syawal 2015 pada Julai nanti, Bahari Asyek menampilkan 30 rekaan baru buat peminat dan pelanggan. Pelbagai corak, potongan, warna dan sulaman busana sedia dipilih daripada fabrik eksklusif butik berkenaan.

Menerusi pertunjukan fesyen Bahari Asyek Syawal Showcase 2015 yang diadakan baru-baru ini, semua rekaan baru dipertonton buat kali pertama. Pelanggan boleh mendapatkan koleksi itu di butik Busana Bahari Asyek di Tingkat 1 dan 2 Plaza Shah Alam, Seksyen 9, Shah Alam.

Butik fabrik Bahari Asyek pula menawarkan pelbagai jenis dan corak kain sama ada bercetak, bersulam dan polos yang pastinya membuat pengunjung rambang mata untuk membuat pilihan.

Bagi yang meminati sutera, pilihan sutera sifon, shantung dan crepe juga ditawarkan dengan pelbagai warna dan corak bercetak, sulaman dan polos.

Zahalina berkata, satu corak fabrik hanya terdapat sepasang atau paling banyak empat pasang saja bagi menjaga eksklusifnya. Atas permintaan ramai butik kedua ini menawarkan pelbagai jenis dan warna fabrik polos untuk kaum lelaki bagi dijadikan baju Melayu.

Terdapat fabrik benang kapas polos Mesir, tulen tanpa corak, bersulam halus, bersulam biasa, benang kapas sutera, benang kapas bercorak, kasa rubia bersulam, benang kapas bersulam putih hitam yang sesuai untuk jubah.

Usaha mencari, memilih dan membawa masuk sendiri fabriknya dari serata dunia menjadikan butik ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 5:04 AM