KAPTEN The Red Warriors, Mohd Badri Radzi bersama rakan sepasukannya bersalam dengan penyokong Kelantan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. FOTO Syamsi Suhaimi.
KAPTEN The Red Warriors, Mohd Badri Radzi bersama rakan sepasukannya bersalam dengan penyokong Kelantan sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. FOTO Syamsi Suhaimi.
Oleh Azlan Hafeedz

Kota Bharu: Pasukan bola sepak Kelantan selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, kira-kira 11 pagi tadi dan disambut sekumpulan penyokong mereka.

Rombongan The Red Warrior berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini, menaiki penerbangan Firefly kira-kira 10 pagi tadi.

Turut serta dalam penerbangan itu Ketua Jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Mohd Azraai ketika dihubungi berkata, jadual aktiviti hari ini agak padat dengan beberapa perbincangan akhir bersama pengurusan dan pemain.

"Kita juga ada latihan pada 6 petang nanti tapi hanya sejam sahaja. Pemain perlu berehat dan mempersiapkan diri untuk perlawanan esok.

"Ketika ini moral pemain sangat tinggi dan kita akan pastikan esok dapat beraksi dengan terbaik dan membawa pulang Piala FA," katanya.

Kelantan akan bertemu Lions XII dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2015 @ 12:42 PM