SHINEE
SHINEE
GIRL'S GENERATION
GIRL'S GENERATION
Oleh Nor Farahanum Zulkefly


Hujan lebat tidak menghalang lebih 5,000 penonton menyaksikan persembahan kumpulan K-Pop terkenal Girls’ Generation dan SHINee di Helipad, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kelmarin.

Aura kehebatan mereka terbukti apabila peminat dari dalam dan luar negara sanggup beratur hampir satu kilometer sejak jam 3 petang lagi untuk memasuki tapak konsert sempena Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) Malaysia itu.

Konsert yang bermula jam 6 petang itu dibuka oleh kumpulan hip hop tempatan iaitu GTX Experiment dan Altimet. Penonton turut dihiburkan dengan persembahan DJ Hitch Hiker.

Penonton mula bersorak apabila Girls’ Generation yang dianggotai lapan gadis jelita Taeyeon, Sunny, Tiffany, Hyoyeon, Yuri, Sooyoung, Yoona dan Seohyun itu muncul di pentas tepat jam 6.40 petang.

Bagaimanapun, mereka muncul tanpa Yoona yang tidak dapat hadir kerana terbabit dengan penggambaran program TV di Korea Selatan.

Walaupun hujan lebat sebaik kemunculan mereka, penonton tetap tidak berganjak malah terpukau dengan persembahan Girls’ Generation terutama ketika mereka membawakan lagu popular antaranya Mr Taxi, I Got A Boy dan Gee.

Apa yang menarik, persembahan mereka diselang-selikan dengan kemunculan SHINee yang dianggotai lima jejaka iaitu Onew, Jonghyun, Key, Minho dan Taemin.

Kemunculan lima jejaka berwajah jambu itu memang membuatkan penonton dalam kalangan gadis menjadi histeria dan ‘gila’!

Walaupun pernah hadir ke Malaysia sempena Golden Disk Awards pada 2013, tetapi kehadiran mereka kali ini memang ditunggu-tunggu kerana inilah persembahan penuh pertama SHINee di sini.

Mereka yang membawakan lagu-lagu popular seperti Lucifier, Sherlock, Why So Serious? dan Ring Ding Dong berjaya membuatkan peminat mereka di sini terutamanya gadis pulang dengan senyuman malam itu.

Tindakan penyanyi rock popular Amerika Syarikat, Lenny Kravitz membatalkan penyertaannya dalam konsert ini membawa tuah buat peminat SHINee apabila kumpulan K-Pop itu dipilih sebagai pengganti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 11:54 AM