PESERTA yang menyertai kursus penternakan madu kelulut di ECER Hulu Terengganu.
PESERTA yang menyertai kursus penternakan madu kelulut di ECER Hulu Terengganu.
SARANG kelulut yang diusahakan Aida di  Kampung Butut.
SARANG kelulut yang diusahakan Aida di Kampung Butut.
Nazdy Harun


Kuala Berang: Permintaan tinggi terhadap madu kelulut membolehkan suri rumah, Aida Jameelia Mohd, 26, dari Kampung Butut di sini menjana pendapatan tambahan lumayan bagi keluarganya sehingga RM1,500 sebulan.

Ibu kepada dua anak perempuan berusia tiga dan empat tahun itu berkata, dia menternak kelulut sejak setahun lalu dan kini mempunyai 10 sarang kelulut namun apabila melihat prospek madu kelulut yang positif, dia kini mengikuti kursus menternak kelulut bersama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Katanya, buat masa ini dia mampu menjana pendapatan tambahan sebanyak RM1,500 sebulan hasil menjual madu kelulut dan melalui ilmu yang diperoleh melalui kursus di empower ECER, dia berhasrat menghasilkan produk hiliran berasaskan madu kelulut yang tinggi permintaannya.

“Peluang yang diberikan ECER perlu diguna sebaik mungkin kerana pelbagai ilmu diberi termasuk aspek ternakan dan penghasilan produk kerana tanpa ilmu yang cukup selain kuasa pasaran mungkin perusahaan ini sukar untuk dimajukan.

“Malah ramai juga pelanggan sanggup datang terus ke rumah saya untuk mendapatkan madu kelulut,” katanya.

Menurutnya, bermula dengan dua sarang kelulut kini dia mempunyai 10 sarang dan menghasilkan lima kilogram madu setiap bulan dan dengan wang jualan madu dia cuba untuk mendapatkan sarang baru sebagai tambahan.

Katanya, dia amat berpuas hati dengan kerja yang dilakukannya dan kini mendapat bimbingan ECER dan berasakan suri rumah sepertinya juga mampu berjaya walaupun hanya melakukan kerja di rumah.

Sementara itu, Pengurus Projek Empower ECER, Surain Kanda berkata, program pemprosesan madu kelulut bertempat di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kemaman, yang dianjurkan sebelum ini disertai oleh peserta kursus penternakan kelulut di bawah program empower ECER Hulu Terengganu serta Besut.

“Tujuan adalah menambah pengetahuan berkaitan cara penternakan kelulut dengan betul selain melihat sendiri tempat pemprosesan madu kelulut ketika melakukan lawatan ke Natures N Trigona Garden, Binjai, Kemaman.

“Ternakan kelulut adalah kursus terbaru yang diperkenalkan empower ECER dan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat setempat tambahan pula kerajaan juga menyokong industri madu kelulut di negara ini,” katanya.

Katanya, seramai 20 peserta dari empower Hulu Terengganu dan 13 dari empower Besut yang menyertai program itu dan semua peserta sedang mengikuti kursus perternakan kelulut yang baru diwujudkan ECER pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:56 AM