ROBB bersama Wan Ahmad teruja dengan acara tahun ini.
ROBB bersama Wan Ahmad teruja dengan acara tahun ini.
Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Berita baik untuk semua peminat aktiviti berbasikal. Cycle Asia Kuala Lumpur bakal berlangsung sekali lagi di Dataran Merdeka bermula 12 hingga 14 Jun ini dengan menawarkan pelbagai kategori berbasikal jalan raya yang mencabar dan menyeronokkan bagi semua peringkat usia di pusat ibu kota.

Mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Belia dan Sukan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), acara itu mencatat jumlah penyertaan terbesar di Malaysia dengan lebih 6,000 peserta berbasikal pada tahun lalu.

Dengan slogan Semua Boleh Berkayuh, ia bakal menawarkan pengalaman penuh keseronokan kepada peserta berbasikal semua peringkat kategori, termasuk golongan amatur dan kanak-kanak.

Kembali beraksi di lokasi ikonik Dataran Merdeka, festival berbasikal tiga hari ini bakal menyaksikan peserta bermandi peluh pada hujung minggu, malah ia bagaikan karnival yang membolehkan peserta dan pengunjung meluangkan masa bersama keluarga dan rakan dengan aktiviti bermanfaat.

Menurut Pengarah Urusan Spectrum Worldwide pemilik dan penganjur acara Cycle Asia Kuala Lumpur 2015, Chris Robb, pihaknya berasa teruja kerana dapat kembali menganjurkan acara itu di Malaysia dan kami bakal menawarkan pengalaman berkayuh yang unik.

“Sama ada anda seorang amatur atau peminat berbasikal, berkayuh di Dataran Merdeka dan tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur tanpa rasa bimbang satu peluang yang jarang sekali kita peroleh,” katanya.

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Penasihat Acara Cycle Asia Kuala Lumpur Wan Ahmad Lotfi Wan Ibrahim yang berpengalaman luas kerana pernah menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi Le Tour De Langkawi.

Acara berkenaan menawarkan tujuh kategori, bermula dengan jarak 100 meter (m) hingga 48 kilometer (km). Bagi kategori 100m dan 150m Tricycle Ride, ia terbuka kepada kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun manakala bagi kategori Kid’s Ride (5km), ia terbuka kepada kanak-kanak berumur enam hingga sembilan tahun.

Junior Challenge, acara kayuhan sejauh 30 minit adalah terbuka kepada mereka yang berusia 10 hingga 12 tahun dan bercita-cita menjadi penunggang basikal negara.

Acara pada Ahad akan bermula dengan The Challenge (48km) dan diikuti dengan kayuhan The Community (24km) yang bermula di Dataran Merdeka yang melalui beberapa mercu tanda ikonik seperti Taman Tasik Perdana, Menara Berkembar Petronas dan Muzium Negara.

Menurut Robb, satu lagi keunikan Cycle Asia apabila ia menggalakkan komuniti berbasikal dan mengamalkan gaya hidup sihat sambil memberi peluang kepada semua untuk berhubung antara satu sama lain.

Sehingga kini, acara itu sudah menerima pendaftaran seramai 2,000 peserta dan angka itu semakin mendapat sambutan menggalakkan dengan pendaftaran sebanyak 2,000 orang peserta dan angka ini masih meningkat.

Selain itu, peserta dan pengunjung boleh melawat tapak rasmi Ekspo Sukan & Gaya Hidup yang terletak di Dataran Merdeka.

Terdapat lebih 40 gerai barangan jualan pada ekspo berkenaan, termasuk pelbagai produk sukan, perkhidmatan serta persembahan yang menghiburkan pengunjung sepanjang acara itu berlangsung.

Sebahagian daripada yuran pendaftaran acara itu akan disalurkan kepada projek amal Sponsor One Bicycle for a Student. Projek itu dikendalikan oleh Sala Bai Hotel & Restaurant School yang diasaskan pada 2002.

Sekolah itu ditubuhkan oleh badan bukan kerajaan Perancis, Agir pour le Cambodge. Projek itu bertujuan menyediakan pengangkutan membantu pelajar miskin menghadiri kelas dan belajar berdikari untuk mencapai kejayaan pada masa depan.

Pendaftaran untuk acara berbasikal itu kini dibuka. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi http://www.cycleasia.com/events/cycle-malaysia-2015 atau laman Facebook https://www.facebook.com/cycleasiaevents.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 10:52 AM