ANTARA babak drama Dia Isteri Luar Biasa.
ANTARA babak drama Dia Isteri Luar Biasa.
Oleh Michelle Gun


Selepas puas mencari calon suami sesuai, pelakon jelita Fathia Latiff yang terdesak untuk menimang cahaya mata akhirnya memilih Shukri Yahaya sebagai suaminya.

Perwatakan Shukri yang dianggap cukup sempurna, matang, berkerjaya serta beriman berjaya menarik perhatian Fathia walaupun tiada perasaan cinta terhadap lelaki itu.

Itulah antara lakonan mereka sebagai suami isteri dalam drama baru slot Akasia di TV3, Dia Isteri Luar Biasa yang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis jam 6.55 petang.

Drama 28 episod itu turut membariskan pelakon terkenal dan berbakat seperti Keith Foo, Elizad Sharifuddin, Syatilla Melvin, Leez Rosli dan Nonny Nadhirah.

Ia diadaptasi daripada novel nukilan Umie Nadzimah yang mengisahkan seorang wanita, Dewi Yusra yang mencari suami demi mendapatkan zuriat.

Dewi tidak mempercayai lelaki disebabkan ibunya pernah menjadi mangsa dera bapa kandung sendiri.

Bagi Dewi, dia mampu hidup tanpa kasih sayang lelaki.

Perasaan inginkan anak timbul selepas Dewi membantu menjaga anak sahabat baiknya, Eda yang bernama Nina.

Namun disebabkan tidak mahu berkahwin, dia cuba mengandung menggunakan kaedah perubatan moden.

Bagaimanapun, hasrat Dewi ditolak klinik pakar kerana menyalahi undang-undang dan juga agama. Lalu idea mencari calon suami timbul dalam fikirannya dan lantas dia meminta sahabatnya membantu mencari lelaki bersesuaian.

Kemudian, pertemuan dengan pensyarah Dr Raden Amzar dalam satu kejadian di lapangan terbang di London membuatkan lelaki itu meminati Dewi.

Tidak lama selepas itu, Dewi mula merancang sesuatu agar Raden Amzar dapat menjadi suami sementaranya.

Segala perancangan Dewi berjalan dengan lancar dan dia ditangkap berkhalwat dengan Raden Amzar.

Mampukah Raden Amzar mengubah pendirian Dewi terhadap lelaki dan membuatkan wanita itu mencintainya? Bagaimana pula penerimaan keluarga Raden Amzar terhadap Dewi?

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:00 AM