Oleh Rudy Imran Shamsudin


Dalam menghitung hari menanti majlis persandingannya berlangsung malam tadi, pelakon yang popular menerusi drama Teman Lelaki Upahan, Siti Elizad Mohd Sharifudin atau Ejad masih sibuk di lokasi penggambaran.

Ejad yang mengejutkan peminat dengan berita pernikahannya pada Januari lalu, kini sibuk dengan peng­gambaran drama terbaru terbitan Pena Creative Pictures, Dia Isteri Luar Biasa arahan Jamal Khan untuk slot Akasia di TV3 bermula 18 Mei depan.

Waktu sama, Ejad turut berlakon telefilem Isteriku Bukan Tukang Masak. Katanya, dia tidak mengambil cuti untuk membuat persiapan majlis resepsi kerana sibuk dengan peng­gambaran.

“Saya bertuah kerana ahli keluarga dan saudara mara ringan tangan menghulurkan bantuan. Ahli keluarga juga mempunyai hubungan baik dengan mereka yang menaja majlis kami, jadi segala urusan berjalan lancar.

“Walaupun sibuk di lokasi, saya tetap diberitahu mengenai perkembangannya, jadi tiada masalah walaupun saya berada di lokasi penggambaran,” katanya.

Kata Ejad, majlis yang berlangsung malam tadi pada perancangan awalnya mahu diadakan secara sederhana, apatah lagi suaminya juga mahukan majlis begitu.

“Kalau ikutkan, saya suka majlis santai dan tak payah bersanding, sebaliknya saya berjalan-jalan berjumpa sanak saudara sambil berbual-bual.

“Bagaimanapun, kerana saya anak perempuan tunggal dalam keluarga, semua abang saya berpendapat biarlah saya bersanding dan mengadakan majlis berenjis. Bukan kerana ingin mematuhi adat, tapi lebih kepada mahu menyambutnya cara meriah,” katanya.

Mengenai drama Isteri Luar Biasa, Ejad memegang watak jauh berbeza dengan karakternya dalam Teman Lelaki Upahan.

“Saya memegang watak Kak Long yang selekeh dan tidak pandai menjaga diri sehingga suaminya berminat dengan orang lain,” katanya.

Mengenai wataknya hanya sebagai pembantu dalam drama ini, tentunya sebagai pelakon yang mencipta nama dengan watak utama, keputusannya sesuatu yang menghairankan.

Bagaimanapun, kata Ejad, dia bukan jenis pelakon yang hanya berminat memegang watak utama, sebaliknya mengutamakan skrip.

“Jika skrip bagus, saya akan buat walaupun hanya penampilan istimewa dan penggambaran dalam dua tiga hari saja.

“Seperkara lagi, saya memang mahu bekerja dengan ramai pengarah, termasuk Jamal Khan yang me­ngarahkan Dia Isteri Luar Biasa. Sepanjang hampir sebulan lebih bekerja dengannya, saya dapati dia pengarah yang profesional,”katanya.

Cerita Ejad, dia seronok dapat bekerja dengan Jamal kerana dia menerima pandangan pelakon dan membuatkan perbincangan mudah dilaksanakan.

“Saya selalu beritahu kepadanya bagaimana saya hendak melakonkan satu-satu babak dan selalunya dia akan menyokong dan langsung tidak mengongkong.

“Saya pula memang jenis pelakon yang akan jaga perkembangan watak. Begitupun sebagai pengarah, Jamal tidak lepaskan saya bebas berlakon begitu saja, dia banyak juga memberi bimbingan,” katanya.

Siri Dia Isteri Luar Biasa yang ­diadaptasi dari novel popular, sekali lagi menjadi pilihan Pena Creative untuk karya terbarunya selepas kejayaan besar Ariana Rose yang pernah disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 dan Bukan Kerna Aku Tak Cinta di Maya HD.

Malah, drama ini masih mengekalkan pelakon Ariana Rose, Fathia Latiff dan Keith Foo. Bagaimanapun, kelainan kali ini, ia turut dijayakan Shukri Yahaya yang kini dikenali melalui siri Asam Pedas Untuk Dia.

Ia turut dijayakan Ziela Jalil yang juga Pengarah Urusan Pena Creative, Syatilla Melvin dan Siti Elizad. Selebriti Metro Ahad diundang membuat liputan ke lokasi penggambarannya di Lombok, Indonesia baru-baru ini.

Ia mengisahkan Dewi Yusra lakonan (Fathia) inginkan anak tetapi tidak mahu mempunyai suami (berkahwin). Dia mencuba pelbagai cara untuk mendapatkan anak, termasuk secara IVF, tetapi apabila memikirkan soal agama, dia akhirnya memilih untuk berkahwin.

Bagaimanapun, dia inginkan lelaki bijak sebagai kriteria utama untuk menjadi bapa kepada anaknya. Apabila bertemu Doktor Raden Amzar (Shukri), mereka berkahwin tanpa cinta.

Dari Manchester ke Lombok

Kejayaan besar diraih Ariana Rose yang pernah mencatat jumlah penonton tinggi sebelum ini bukan lesen besar bagi mengulangi kejayaan sama untuk Dia Isteri Luar Biasa.

Ziela akui selera penonton terhadap drama tempatan sekarang tidak menentu, membuatkan dia bimbang sama ada karya terbaru dihasilkan produksinya mampu menarik perhatian penonton atau tidak.

“Dulu kalau sebut saja drama Akasia, semua orang akan berkata penerbit tidak perlu risau kerana slot di TV3 itu memang digemari ramai dan jumlah tontonan pasti mencecah empat juta.

“Bagaimanapun, ‘trend’ itu kini berubah apabila dilihat kembali ada antara drama mengisi slot terbabit memperoleh rating tidak seperti diharapkan.

“Disebabkan itu, saya sangat cerewet dalam meneliti segala elemen pembikinan Dia Isteri Luar Biasa bagi memastikan apa yang dihasilkan dan disiarkan nanti mampu memenangi hati penonton,” katanya.

Kata Ziela, beberapa perkara membuatkan dia yakin dan memilih novel Dia Isteri Luar Biasa sebagai drama rantaian terbaru terbitan Pena Creative.

“Paling utama sudah tentu novel itu sendiri memang sangat popular dan mempuyai pengikut. Malah, sebaik mengetahui saya mahu menerbitkannya dalam bentuk drama, pembaca dan peminat setia novel ini mewujudkan satu laman sesawang khas.

“Apabila mengangkat karya popular, tentu peminat yang pernah membaca novel ini tidak sabar-sabar mahu tahu bagaimana ia dilaksanakan dalam bentuk visual,” katanya.

Ziela akui tetap risau kerana pembaca dan peminat setia novel ini sangat peka. Apabila membaca imaginasi manusia besar, mereka boleh membayangkan setiap babak sangat besar. Pihaknya cuba menzahirkannya dalam bentuk visual sehampir mungkin.

“Selain lakonan mantap, visual memainkan peranan penting. Apa yang kami lakukan di Lombok membabitkan babak di mana watak utamanya Raden Amzar dan Dewi Yusra merancang berkahwin di luar negara.

“Ikut dalam novel, peristiwa ini berlaku di Manchester, Britain. Bagaimanapun, kerana mahu mendapatkan gambar cantik, saya buat keputusan menukar lokasi babak terbabit dan memilih Lombok atas faktor mahu bermain dengan elemen alam semula jadi dalam visual.

“Kalau kita buat di Manchester, babak menarik dan penting ini akan kelihatan biasa saja. Malah, di bandar Manchester tiada apa yang boleh menarik perhatian penonton. Berbeza dengan Lombok, penonton dapat lihat kecantikan pantai di Pulau Senggigi dan keindahan di Gili Trawangan.

“Penonton juga dapat melihat adat istiadat perkahwinan kaum pribumi Lombok iaitu Sasak dilaksanakan dan penggambarannya dilakukan di masjid tertua di perkampungan ini,” katanya.

Elemen penting yang diberi penekanan oleh Ziela selaku penerbit adalah keserasian antara pelakon dan disebabkan itu dia cuba memastikan perasaan yang digambarkan dalam novel dapat dizahirkan Shukri dan Fathia.

Kata Ziela, dia tegaskan sejak awal kepada mereka, tidak kira apa cara sekali pun harus meyakinkan penonton dengan watak dilakonkan. Usaha perlu dibuat walaupun keserasian itu harus dicari di belakang kamera.

Ziela juga terharu kerana pembikinan Dia Isteri Luar Biasa mendapat sokongan pembaca dan peminat setia novel terbabit sehingga mereka menubuhkan DILB Lovers dan DILB Netics.

“Kedua-dua kumpulan peminat setia ini juga banyak membantu produksi saya dari mula penggambaran hinggalah sekarang.

“Mereka juga menerangkan kepada Shukri dan Fathia bagaimana watak Raden Amzar dan Dewi Yusra harus digambarkan. Mereka turut mempromosikan pembikinan drama ini dalam pelbagai laman sosial,” katanya.

Jamal selaku pengarah yang sebelum ini banyak bekerja de­ngan Pena Creative, cuba memberi kelainan kepada perjalanan cerita Dia Isteri Luar Biasa supaya penonton boleh menikmatinya dengan emosi yang ringan.

Pengarah drama rantaian Jodoh Itu Milik Kita, Bukan Kerna Ku Tak Cinta dan Setitis Kasih Darmia terbitan Pena Creative berkata, kalau peminat membaca novel ini, mereka akan dapat merasai Dia Isteri Luar Biasa banyak permainan emosi.

“Sesetengah penonton berasakan perkara seperti itu terlalu berat. Saya mengambil kira yang drama ini akan disiarkan pada waktu petang di mana umum baru pulang kerja dan duduk di depan TV bagi melepaskan lelah.

“Kalau mereka menonton sesuatu yang banyak mainan emosinya, ia akan dikatakan terlalu berat. Perkara seperti itu yang cuba saya elakkan,” katanya.

Jamal juga cuba menukar persepsi peminat setia drama tempatan dan pembaca setia novel ini dalam Dia Isteri Luar Biasa.

“Dalam novel, ia memaparkan semangat feminisma watak utamanya Dewi Yusra. Bagaimanapun, sebagai pengarah, saya cuba membawa penonton menyelurusi sudut pandang watak Raden Amzar dilakonkan Shukri terhadap isterinya.

“Perkara itu akan memberikan lebih rasa dan menjadi pengikat kepada penonton untuk menyaksikan drama itu dari episod satu hingga 26,” katanya.

(Penulis mengikuti rombongan Pena Creative Pictures di Lombok, baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2015 @ 5:09 AM