Selasa lalu, tamat sudah kisah drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa (DILB). Sejak bersiaran pada 18 Mei lalu meng­gantikan Hati Perempuan, drama terbitan Pena Creative Sdn Bhd ini menjadi bualan ramai.

Pada mulanya penonton suka gandingan Fathia Latiff dan Shukri Yahaya hingga ramai wanita dan isteri mengimpikan lelaki dan suami seperti Raden Amzar (Shukri) yang sabar melayan kerenah Dewi Yusra (Fathia).

Tapi akhir-akhir ini, drama adaptasi novel Umie Nadzimah dan skrip ditulis Rozie Rashid mencetus kemarahan ramai hingga disifatkan sebagai drama maksiat dan penerbitnya, Ziela Jalil menerima surat terbuka daripada penonton yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan babak mesra dan berpelukan suami isteri (Dewi Yusra dan Raden Amzar).

Tambah pula ia disiarkan menjelang Maghrib dan kini sebelum berbuka puasa. Mereka meluahkan rasa malu menonton drama itu bersama anak-anak.

Kesudahannya, cerita ini tamat dengan hanya 26 episod sedangkan ikut jadual sepatutnya 28 episod dan berakhir pada Khamis kemudian dimulakan de­ngan drama baru pada Selasa ini menghiasi slot Akasia menerusi TV3.

Adakah DILB ‘dimatikan’ awal untuk menghentikan kemarahan penonton atau pun drama ini melalui proses tapisan dan pemotongan babak tidak sesuai dan tidak mengikut syarat ditetapkan hingga hilang dua episod?

Ziela ketika dihubungi Jumaat lalu, menafikan dramanya ‘dimatikan’ atau ‘dicincang’ untuk mengelak babak mesra. Dia juga menerima dengan hati terbuka segala kritikan dan komen penonton kerana ia berkaitan isu agama.

Sebagai seorang Islam, Ziela tidak mahu mempertikaikan hukum atau menghalalkan yang salah. Ziela akui DILB memberi dugaan paling besar buat dirinya sebagai penerbit hingga mengalami kerugian besar.

Pelakon dan kru dibayar untuk 28 episod tetapi bayaran diterimanya daripada stesen TV hanya untuk 26 epsiod. Ziela juga enggan mengulas lanjut kekurangan episod itu kerana bimbang boleh menjejaskan hubungannya dengan pengarah sebaliknya menerima apa yang berlaku dengan reda.

Kalau dramanya sebelum ini, Ariana Rose turut berhadapan kritikan dan kontroversi, kali ini disifatkan lebih hebat lagi. Ia dijadikan iktibar dan pengalaman cukup bermakna buat dirinya untuk memperbaiki diri dan menghasilkan karya selepas ini.

Ziela juga sedar syarat ditetapkan stesen TV kini berkaitan babak mesra serta bersentuhan, membuatkan pihaknya berhadapan cabaran besar tetapi akan cuba memperbaiki dan me­ngikutnya pada masa akan datang. Dia sedar masyarakat kini cukup peka mengenai perkara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 5:12 AM