Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Sekurang-kurangnya 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia termasuk dua kanak-kanak ditahan Polis Marin Wilayah Dua Johor dalam serbuan di hutan Ladang Mados, Bandar Penawar dekat Kota Tinggi, tengah malam tadi.

Semua PATI yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki, lapan wanita dan masing-masing seorang kanak-kanak lelaki serta perempuan yang semuanya berusia antara lapan hingga 50 tahun.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Paul Khiu Khon Chiang berkata, mereka ditahan pada 12.30 tengah malam.

Menurutnya, kebanyakan daripada mereka mengaku secara lisan hendak pulang ke Indonesia menggunakan bot pancung.

"Mereka juga gagal mengemukakan sebarang dokumen diri yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan berada di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

"Semua PATI dibawa balik ke Balai Polis Bandar Penawar untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 6:51 PM